Tuesday, May 10, 2011

Nasib Nelayan Malaysia Di indon

Nelayan Malaysia dianiaya Indonesia?

SYAMSYUL FADZLI MAT
Putrajaya

TINDAKAN Indonesia menghukum nelayan Malaysia yang ditahan di 'perairan Indonesia' dengan penjara 30 bulan wajar dipertikaikan.

Ini kerana masalah sempadan perairan di Selat Melaka sebenarnya ditimbulkan oleh Indonesia sendiri apabila mereka menguatkuasakan kawasan perikanan dalam Zon Ekonomi Eksklusif mereka dengan mewartakan undang-undang yang tidak pernah disepakati dengan negara ini walaupun ia melibatkan pertindihan kawasan sempadan.

Indonesia merujuk kepada istilah adil dan situasi menang-menang yang disarankan oleh United Nation Convention on The Law of The Sea (UNCLOS) dalam mengisytiharkan Zon Ekonomi Eksklusifnya.

Maka dengan itu, mereka menetapkan kawasan perairan dan wilayah hasil laut mereka di Selat Melaka adalah mengunjur hingga ke titik tengah antara Sumatera dan Semenanjung Malaysia, melampaui sempadan Malaysia sedia ada yang mengikut alur terdalam Selat Melaka seperti yang telah dipersetujui pada tahun 1969.

Inilah yang mengakibatkan pertindihan kawasan perairan yang bakal menyaksikan lebih ramai nelayan negara ini bakal tertangkap oleh pihak berkuasa Indonesia kerana kekeliruan yang timbul.

Jajaran alur terdalam di Selat Melaka lebih hampir dengan Sumatera di bahagian utara dan sebaliknya lebih hampir dengan Semenanjung Malaysia di bahagian selatan. Ini membuatkan perairan Malaysia secara rasminya lebih lebar di bahagian utara dan lebih sempit di bahagian selatan.

Penetapan Zon Ekonomi Eksklusif oleh Indonesia ini membuatkan sebahagian kawasan barat perairan negara ini di bahagian utara Selat Melaka iaitu dari utara Selangor hingga Kedah, telah dianggap sebagai wilayah laut mereka.

Menurut mereka, semua hasil laut di zon bertindih ini adalah milik mereka manakala Malaysia melalui sempadan yang dipersetujui pada tahun 1969 hanya berhak ke atas hasil di bawah lantai laut contohnya petroleum dan gas. Itupun jika ada.

Mereka telah menguatkuasakan peraturan yang menyebabkan dua buah kapal nelayan Malaysia dirampas pada 8 April lalu.

Bukan itu sahaja, penguat kuasa marin mereka dengan berani, mengacu senjata ke arah helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tiba di lokasi setelah menerima laporan penahanan nelayan tersebut.

Indonesia mewartakan Peraturan Menteri (Permen) Kelautan dan Perikanan NU 1/2009 mengenai Wilayah Pengelolaan Perikanan dengan memasukkan kawasan yang dipertikaikan ini sebagai sesuatu yang sah hukumnya tanpa berunding dengan negara ini.

Komentar saya pernah dipadam oleh sebuah laman web berita popular di Indonesia apabila saya mempersoalkan mengapa kaedah 'titik tengah' ini tidak diamalkan di selatan Selat Melaka yang lautnya di kawasan Indonesia lebih luas.

Nelayan Johor ditangkap setelah dikatakan menceroboh wilayah Indonesia. Adakah dalam kes ini Indonesia masih berpegang pada persempadanan 1969 dan mengabaikan justifikasi mengikut UNCLOS yang mereka gunakan di utara Selat Melaka?

Jika benar, Malaysia dirugikan oleh sikap Indonesia yang tidak konsisten dan sengaja berniat melebarkan perairan di wilayah lautnya yang didapati sempit, bertopengkan saranan konvensyen antarabangsa.

Indonesia seharusnya bersikap adil jujur dalam isu ini manakala media Indonesia harus sedar bahawa mereka sebenarnya tidak cukup terbuka seperti mana mereka canangkan.

Hukuman 30 bulan penjara ke atas nelayan Johor dilihat bukanlah sebuah hukuman malah lebih kepada satu penganiayaan.

No comments:

Post a Comment