Monday, May 2, 2011

Samun Guna Ilmu Taik

Tinggal najis, renjis air bilik mangsa
Oleh Irwan Shafrizan Ismail

2011/05/02
Perompak warga asing samun suami isteri

KUANTAN: Umpama satu syarat ilmu yang perlu dipatuhi, tiga penyamun warga asing bukan saja meninggalkan najis dalam longkang, sebaliknya turut merenjis air di dalam bilik di sebuah rumah milik sepasang suami isteri yang disamun mereka, di Kampung Paya Teh, dekat Jerantut, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, tiga lelaki bersenjatakan parang memecah masuk rumah pasangan suami isteri terbabit masing-masing berusia 26 tahun yang sedang tidur di dalam bilik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata suspek dipercayai bertindak memotong besi tingkap dapur sebelum menyusup masuk ke dalam rumah.
Beliau berkata, suspek yang mengejutkan mangsa dengan menggunakan parang kemudian mengarahkan pasangan suami isteri yang baru dua bulan berkahwin itu mendiamkan diri.

“Seorang daripada suspek kemudian mengikat tangan pasangan terbabit menggunakan wayar seterika manakala dua lagi rakannya menggeledah rumah.

“Selain merampas komputer riba, beberapa barang hantaran perkahwinan mangsa, lima telefon bimbit dan pakaian berjenama, suspek turut meminta wanita itu menyerahkan barang kemas dipakainya.

“Kerugian yang dialami mangsa samun dianggarkan hampir RM10,000.
“Malah sebelum melarikan diri, suspek dikatakan turut meninggalkan sepasang selipar buruk, najis di dalam longkang selain merenjis air di tiga bilik di rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zakaria berkata, mangsa kemudian berjaya membuka ikatan kira-kira setengah jam kemudian sebelum meminta bantuan ahli keluarga dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, kira-kira jam 5 pagi.

“Susulan kejadian terbabit, gerakan memburu suspek dijalankan, malah polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil di IPD Jerantut bagi membantu siasatan,” katanya.

Komen Anda
Guna Facebook id anda.
Nama :
Emel :
Komen :

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen
Tipah Tertipu
eee....seramnya..teruk btl la pnyamun zman skg nih..huuuh!!

No comments:

Post a Comment