Friday, May 27, 2011

Kereta Lama Dijual

Kempunan kereta baru, rugi jual kereta lama

NIAT seorang pemandu lori yang ingin memberikan keselesaan kepada keluarganya dengan menempah kenderaan lebih besar tidak kesampaian apabila dia bukan sahaja kempunan mendapatkan kereta Toyota Avanza malah 'terjual' Proton Wira miliknya.

Bapa kepada enam anak itu ditimpa nasib malang akibat terpedaya dengan sebuah syarikat menjual kereta terpakai di Jalan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Terengganu, pada Mac lalu.

Md. Zubi Ramli, 40, yang tertarik dengan harga RM65,000 yang ditawarkan, terus bersetuju untuk membeli kereta Toyota itu melalui proses 'tukar beli' kereta lamanya dengan harga RM10,000.

Bagaimanapun, dia yang sepatutnya hanya perlu membayar baki harga kereta RM55,000 terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia perlu membayar tambahan RM8,500 dengan alasan kereta tersebut berharga RM73,000 ketika itu.

Menyedari dirinya telah tertipu, Md. Zubi membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk menuntut kembali kereta Proton Wira miliknya sebagai tanda pembatalan pembelian kereta Toyota Avanza berkenaan.

"Saya bersetuju membeli kereta Toyota Avanza itu dengan kaedah tukar beli kereta lama kerana pada awalnya harga yang dimaklumkan jauh lebih murah namun tidak sangka harga kereta Toyota Avanza tersebut tiba-tiba jadi mahal.

"Sepatutnya jurujual itu menjelaskan pada saya dengan lebih teliti agar saya lebih faham dan tidak keliru jika ada peningkatan harga sebelum saya buat keputusan untuk membeli kereta Toyota Avanza tersebut," katanya di TTPM Kuala Terengganu baru-baru ini.

Bagaimanapun Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak berkata, Md. Zubi tidak boleh menuntut kereta lamanya kembali kerana ia telah pun dijual kepada pengguna lain selepas dia bersetuju untuk menukar beli kereta tersebut.

Namun begitu, beliau mengarahkan syarikat berkenaan membayar RM3,384 kepada pemandu lori itu selepas ditolak kos baik pulih serta bayaran tertunggak terhadap kereta tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Selain itu, Md. Zubi perlu menyerahkan geran kereta lamanya kepada syarikat terbabit selepas menerima bayaran berkenaan.

Menurut Md. Zubi, biarpun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM7,000 kerana enggan membeli Toyota Avanza berkenaan walaupun pinjaman telah diluluskan namun dia tetap berpuas hati apabila tidak berurusan dengan syarikat terbabit.

"Kalau saya mahu beli kereta lain sekalipun saya akan ke syarikat lain dan bawa rakan yang biasa berurusan tentang jual beli kereta agar tidak tertipu lagi," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment