Pekerja pasar raya mengadu diganggu
KOTA BHARU 3 Dis. - Tidak tahan kerana sering diganggu oleh pengurus di tempatnya bekerja sejak sebulan lalu, seorang pekerja wanita di sebuah pasar raya di sini membuat laporan polis, 11 November lalu.
Mangsa yang berusia 25 tahun, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis daerah di sini setelah tidak tahan dengan gangguan berlarutan sehingga mencemarkan maruah dirinya.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ke atasnya selepas dua minggu memulakan pekerjaan di pasar raya berkenaan.
"Kira-kira dua minggu selepas mula bekerja dia (pengurus) menunjukkan tabiat buruk yang sangat tidak menyenangkan melalui isyarat mulut dan lisan berunsurkan seksual.
"Bagaimanapun saya masih bersabar tetapi keadaan bertambah teruk apabila pengurus itu memegang tangan, letak tangan atas bahu macam hendak memeluk dan kelakuan itu saya anggap melampau dan mencabul kehormatan saya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mangsa mendakwa, dia bukan perempuan murahan yang boleh dilakukan sesuka hati oleh pengurus tersebut kerana niatnya bekerja untuk mendapat pendapatan halal.
Katanya, perbuatan pengurus tersebut ke atas dirinya berlarutan kira-kira sebulan sebelum dia hilang sabar lalu membuat laporan polis.
"Pengurus tersebut pernah mengajak saya masuk ke bilik atas alasan kerja tetapi bertindak di luar batasan apabila cuba mencium dan memeluk saya tetapi saya sempat menolak sebelum melarikan diri.
"Saya trauma mengenang kejadian tersebut dan takut untuk ke tempat kerja. Sebelum ini pun dia yang tinggal berhampiran pasar raya tempat saya bekerja pernah menawarkan kami tinggal sama dan berjanji memberi wang belanja setiap bulan.
"Banyak lagi perkara-perkara aib yang dilakukan menyebabkan saya merasa malu, sedih dan kecewa lebih-lebih lagi perangai buruk itu dilakukan rakan sekerja yang berpangkat sepertinya," ujarnya.
Saya berharap berdasarkan laporan yang dibuat, tindakan tegas dapat diambil bagi menyelamatkan pekerja-pekerja lain yang bakal menjadi mangsanya pula pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan ada menerima laporan tersebut.
No comments:
Post a Comment