Saturday, December 4, 2010

Netbook

Perketat sistem pemberian netbook

KUANTAN 3 Dis. - Kerajaan Pahang akan memperketatkan sistem pemberian 50,000 unit netbook kepada pelajar sekolah menerusi fasa kedua di negeri ini pada tahun depan bagi memastikan hanya yang layak menerima kemudahan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, setakat ini sebanyak 17,590 netbook diedarkan kepada pelajar sekolah yang layak di 25 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.

Kata beliau, pemberian fasa kedua itu akan dibuat dengan lebih teliti kerana pengedaran sebelum ini mendapati ada ahli keluarga memiliki lebih daripada satu netbook.

''Keadaan itu menyebabkan kita perlu mengkaji semula supaya setiap keluarga hanya memiliki satu netbook.

''Pemberian 50,000 netbook akan dilaksanakan pada awal tahun depan. Pada Sidang DUN baru-baru ini, kita menerima banyak cadangan di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai cara pelaksanaan pemberian komputer itu.

''Oleh itu, kita bersetuju supaya Jabatan Pelajaran Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyenaraikan penerima tersebut dan akan disemak semula oleh pemimpin masyarakat supaya tidak berlaku pertindihan pengedaran nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas kejohanan boling anjuran Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Pahang semalam.

Ditanya mengenai keluarga yang memiliki lebih satu netbook yang diterima sebelum ini, Mohd. Sharkar memberitahu, unit komputer itu tidak akan diambil semula.

Sebaliknya kata beliau, pihaknya berharap keluarga terbabit menggunakan sebaik mungkin bagi tujuan pembelajaran.

Sementara itu beliau memberitahu, kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran 30 peratus penembusan jalur lebar di Pahang yang ketika ini berada pada tahap 27 peratus.

SKMM tambahnya, memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi membina 157 pencawang telekomunikasi tambahan, infrastruktur dan program berkaitan Internet di negeri ini pada tahun depan.

Katanya, pembinaan pencawang itu turut dilakukan di kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang digital sekali gus membolehkan mereka menikmati kemudahan sama seperti penduduk bandar.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment