Wednesday, February 9, 2011

Kijang Sesat


Tujuh tahun tunggu CF

Oleh Roslah Othman
kota@utusan.com.my

Salah seorang penduduk termenung mengenangkan rumahnya di Sri Hijauan, Ukay Perdana, Kuala Lumpur yang masih belum dapat diduduki. - utusan/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Membeli rumah yang dalam pembinaan ibarat satu perjudian. Jika semuanya berjalan lancar dan rumah dapat diduduki sebagaimana yang dirancang ia sudah dianggap cukup bernasib baik.

Namun ramai juga pembeli rumah khususnya di Lembah Klang yang tidak bernasib baik dan terpaksa menanggung hutang bank membeli rumah dan pada masa yang sama tetap terpaksa membayar rumah yang masih lagi disewa.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, ia ibarat kain singkat, mahu ditutup kaki, badan pula yang terdedah. Selepas segala tangga pejabat pihak berkuasa berkenaan dipanjat untuk memastikan beban yang berpanjangan itu berakhir segera, namun jalan penyelesaian masih tidak kelihatan.

Perasaan sama turut dirasai kira-kira 400 orang pembeli Apartment Sri Hijauan, di Ukay Perdana, dekat sini.

Namun senarionya agak berbeza kerana rumah mereka sudah disiapkan pemaju, namun disebabkan gagal menepati syarat-syarat bomba mengikut akta bangunan yang baru dipinda menyebabkan perumahan itu masih belum memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF).

Difahamkan, bermacam-macam cara mereka cuba menuntut hak. Selain mengemukakan masalah kepada pemaju, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan Selangor, namun sehingga hari ini masalah tersebut gagal diselesaikan.

Utusan Malaysia difahamkan, Apartment Sri Hijauan yang mempunyai empat blok iaitu A, B, C dan D yang mempunyai kira -kira 400 unit itu mula dijual kepada orang ramai pada tahun 2003 oleh Talam Coporation pada harga RM95,900 seunit.

Secara keseluruhan perumahan yang dilengkapi surau, dewan komuniti dan kolam renang telah siap dibina sepenuhnya.

Penduduk mendakwa apa yang menjadi masalah sekarang rumah itu telah siap pada tahun 2007, sedangkan akta bangunan itu baru sahaja dipinda.

Jadi bagaimana pemaju mahu memperbaiki semula sedangkan rumah itu sudah siap sepenuhnya. Ekoran daripada itu pembelilah yang terpaksa menanggung bebanan kerana sehingga kini masih belum boleh berpindah ke rumah baru.

Sehubungan itu pembeli sepakat mengadakan perjumpaan dan menunaikan solat hajat memohon kepada yang lebih berkuasa agar membuka pintu hati pihak berkuasa terlibat segera menyelesaikan masalah mereka.

Perjumpaan itu juga dicetuskan atas inisiatif beberapa individu yang juga pembeli apartment di situ untuk mereka kembali berkumpul dalam satu Facebook, bagi sama-sama membincangkan nasib mereka yang seolah-olah tiada kesudahan.

Menurut Shahrizal Yahya, 33, mereka kembali bersatu dengan membuka akaun Facebook bagi mengumpulkan pembeli apartment di situ untuk sama-sama bersatu menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, "Saya difahamkan pihak pemaju telah menghantar surat rayuan agar permohonan CF sementara dapat disegerakan, pada masa sama bersetuju untuk memperbaiki ruang kawasan tangga blok itu yang didakwa gagal memenuhi akta bangunan,'' katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan dan solat hajat yang diatur bersama melalui Facebook itu.

Kira-kira 30 orang hadir pada majlis perjumpaan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Shaari Sungip.

Sementara itu Shaari ketika ditemui berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan segera bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan.

Katanya, melalui jawatankuasa itu rayuan akan dikemukakan kepada pihak bomba bagi memastikan CF sementara dapat dikeluarkan, pada masa sama pihak pemaju akan cuba memenuhi syarat-syarat bomba mengikut akta bangunan yang baru dipinda.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment