Terima kasih bantuan UMNO
IZINKAN saya mengucapkan terima kasih kepada tiga insan yang sangat berbudi dan berjasa kepada saya pada 31 Januari lepas.
Saya merupakan antara mangsa banjir di Labis pada 30 Januari 2011. Saya tidak berniat pun untuk singgah di Labis, apatah lagi untuk campur tangan dalam urusan pilihan raya. Apakan daya perjalanan saya menaiki teksi ke Segamat dari Yong Peng pada pukul 4:30 petang hari itu tersekat di Labis kerana pekan itu sudah dilanda banjir teruk.
Jalan ke Segamat juga telah ditutup. Untuk pulang ke Yong Peng, agak mustahil kerana dalam perjalanan pergi tadi kami telah menempuh dua laluan air di atas jalan. Saya memutuskan untuk mencuba jalan kereta api. Setelah menunggu sehingga 8:30 malam, saya dimaklumkan bahawa perjalanan kereta api dibatalkan selama dua hari. Malam itu saya bermalam di Masjid Labis bersama-sama mangsa lain yang terkandas.
Keesokan harinya dalam keadaan hujan sekejap lebat sekejap renyai, saya menuju ke Balai Polis Labis untuk memohon bantuan untuk keluar dari Pekan Labis memandangkan kenderaan awam tiada yang beroperasi.
Hampir dua jam menunggu,saya tergerak hati untuk memohon bantuan sekumpulan mereka yang datang bersama van UMNO Pengerang untuk meninjau keadaan di situ. Alhamdulillah saya mendapat bantuan daripada Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahari Suib; Setiausaha UMNO Bahagian Bakri, Mohammad Saad dan juga Abdul Jalil.
Alhamdulillah,saya pasti mereka ialah pemimpin tulen. Terharunya saya. Semoga Allah membalas pertolongan tuan-tuan yang budiman.
INTAN SALWATI OMAR MOKHTAR
Kuala Lipis, Pahang
No comments:
Post a Comment