Sunday, April 3, 2011

Cara Pilih Pasangan

Pesanan untuk anak lelaki memilih pasangan hidup

Kucing Jantan

KELUARAN ini adalah yang ketiga bagi ruangan Kucing Jantan sejak ia diperkenalkan sempena wajah baru Mingguan Malaysia dua minggu lalu.

Ada tiga ekor kucing yang menulis untuk ruangan ini.

Keluaran pertama, ia merupakan hasil tulisan Bro Tompok. Minggu lalu adalah tulisan Si Belang, dan minggu ini giliran Mat Comot. Minggu depan ia kembali kepada giliran Bro Tompok.

Masing-masing ada pendekatan sendiri dalam menulis untuk ruangan ini. Kalau hendak marah terhadap apa yang ditulis dalam ruangan ini, halakanlah kepada kucing berkenaan. Kucing lain tidak bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis oleh kawannya yang lain.

Bagi Mat Comot, tulisan sulungnya untuk ruangan ini adalah berupa nasihat kepada anak lelakinya yang bujang dan sedang menerima tekanan untuk mencari pasangan hidup:

Oh anakku, sesungguhnya dalam hidup ini, perlu membuat keputusan-keputusan penting yang akhirnya menentukan masa depan hidup kita. Sukarnya untuk membuat keputusan ini dapat dilihat dengan seruan supaya dilakukan sembahyang istikharah.

Maka antara keputusan dalam hidup yang amat penting ialah memilih pasangan sepanjang hayat.

Dalam hal ini, wahai anakku, Tuhan telah menganugerahkan kepada kita kebijaksanaan dalam memilih pasangan hidup. Berjuta-juta tahun manusia dan segala haiwan sepanjang proses evolusi, kebanyakannya berjaya memilih pasangan hidup yang sesuai.

Sebab itulah, terutama manusia menjadi spesies yang berjaya di muka bumi. Sememangnya banyak perkahwinan yang gagal. Tetapi pada keseluruhannya, perkahwinan manusia di seluruh dunia adalah berjaya. Sebab itu, manusia berkembang biak dengan institusi keluarga terus dapat bertahan berjuta-juta tahun.

Jadi percayalah kepada kata hati terhadap siapa yang hendak dipilih sebagai pasangan hidup.

Maka syarat pertama bagimu untuk memilih bakal isteri ialah dia hendaklah benar-benar yang kamu cinta, tidak ada keraguan dan berbelah bahagi.

Jika ada setitik keraguan, tangguhlah dahulu. Ini merupakan pilihan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Kalau silap memilih, tidak ada jalan penyesalan. Untuk bercerai dan berganti baru adalah jauh lebih susah daripada kahwin.

Apakah kriteria pertama yang harus menjadi pilihan? Banyak faktor yang perlu diambil kira. Calon itu wajar beragama, daripada keturunan baik-baik, berpendidikan, dalam zaman ini pula, lebih baik pilih wanita yang bekerjaya bagus di samping faktor kesihatan serta kampung di mana agar masa berhari raya lebih mudah untuk balik kampung bersama.

Ya anakku, semua faktor itu perlu diambil kira. Tetapi ayah tahu, mana-mana lelaki normal, yang cukup hormon, tidak kurang dan tidak lebih, serta tidak songsang, pasti akan mahukan wanita cantik.

Memang dari dahulu pun orang tahu, rupa paras yang cantik merupakan kriteria pertama bagi pilihan lelaki.

Sebab itulah rupa paras wanita manusia semakin lama semakin cantik. Bukanlah kerana semakin banyak ciptaan kosmetik baru tetapi kecenderungan lelaki untuk memilih wanita cantik, maka pastinya baka-baka yang diturunkan akan akhirnya lebih banyak cantik daripada kurang cantik.

Untungnya bagi wanita pula cantik itu subjektif dan relatif bagi seseorang lelaki. Ada perempuan yang dipandang cantik oleh lelaki tertentu, tidak pula menarik bagi lelaki lain.

Dari kecantikan itu, barulah jatuh hati. Maka wahai anakku, pilihlah perempuan yang dirasakan tanpa was-was sebagai amat cantik bagi dirinya.

Memanglah kecantikan akan pudar akhirnya. Tetapi hendak sampai kepada kepudaran itu memakan bertahun juga. Bila akhirnya pudar nanti, apa yang suami ingat ketika sudah berusia kelak adalah wajah cantik isterinya ketika dia muda dahulu. Ingatan itulah yang penting untuk dibawa ke hari tua.

Jadi pilihlah perempuan yang benar-benar berkenan di hati kerana kecantikannya sebab setiap hari kamu akan menatapnya, baik siang ataupun malam. Pagi dan petang iaitu sepanjang hayatmu.

Jadi apakah dia kecantikan? Maka orang kata kecantikan bukan saja rupa paras tetapi yang lebih penting ialah perangai. Itu kata masyarakat.

Tetapi dalam hal ini, ayah mahu kamu benar-benar faham mata pelajaran biologi. Apakah fungsi kecantikan? Asasnya ialah supaya manusia suka untuk berkelamin. Seterusnya berkeluarga dan membiak. Maka rahsianya ialah pilih calon isteri yang kamu senang kerana seksnya.

– MAT COMOT

No comments:

Post a Comment