Ditipu kekasih siber sengkek
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Demi cinta dan sayang kepada kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 37 tahun berputih mata selepas kerugian lebih RM30,000 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya mengalami kesempitan wang.
Tanpa menyedari ia helah teman lelakinya yang dipercayai warga Afrika, mangsa mempercayainya lalu memberinya wang.
Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu mengenali lelaki terbabit melalui laman sembang tidak sampai sebulan, namun dia terpedaya dengan rayuan dan rintihan lelaki terbabit kononnya kesusahan.
“Mangsa mendakwa ketika bersembang dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Dennis di Internet, lelaki itu menyatakan hasrat untuk meminjam wang.
“Pada mulanya, mangsa pelik dengan permintaan teman lelakinya itu, namun selepas lelaki terbabit menyatakan berada dalam kesusahan, mangsa akur dengan permintaan itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa tidak mengesyaki sesuatu kerana teman lelakinya masih berhubung dengannya selepas menerima RM1,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Mangsa kemudian menerima panggilan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Frank kononnya rakan perniagaan teman lelakinya itu dan mengucapkan terima kasih.
“Dalam perbualan itu, lelaki terbabit mendakwa teman lelakinya mahu mengirimkan wang AS$ 2.5 juta (RM7.5 juta) dan beberapa botol kimia untuk mencuci wang,” katanya.
Namun, kegembiraan wanita itu bertahan sementara waktu apabila teman lelakinya gagal dihubungi, malah wang yang dijanjikan itu tidak kunjung tiba.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis Isnin lalu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment