Friday, February 4, 2011

Berkorban demi keselamatan rakyat Malaysia di Mesir

Harungi kereta kebal demi misi

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
Kelmarin malam di satu ruang tepi Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir, beberapa pegawai Wisma Putra dan pegawai kedutaan Malaysia di sana menghantar bekalan makanan kepada beberapa kumpulan besar pelajar dan rakyat Malaysia yang terkandas.

Itu adalah rutin sejak beberapa hari ini akibat pergolakan politik yang sedang meruncing di negara utara Afrika itu. Jika makanan tidak dapat dihantar pada sebelah malam, pegawai Malaysia akan mencuba lagi untuk penyediaan sarapan. Semua kekangan ini terpaksa diharungi ekoran perintah berkurung dikuatkuasakan dari pukul 1 petang hingga ke 8 pagi keesokannya.

“Bukan sahaja rakyat Malaysia terkandas di Terminal 3 itu tetapi rakyat negara-negara lain juga berada di sana.

“Kami hantar nasi Arab tetapi dia orang (rakyat kita) minta nasi lemak. Bagaimanapun saya jelaskan pihak kedutaan tidak dapat menyediakan nasi lemak kerana pasar tutup, itu pun baru semalam (Rabu) pasar-pasar mula dibuka semula dan sistem komunikasi berfungsi,” kata Timbalan Menteri Luar, A.Kohilan Pillay ketika dihubungi Utusan Malaysia pada pukul 7 pagi waktu tempatan (1 petang di Kuala Lumpur) dari Kedutaan Malaysia di Kaherah semalam.

Bercakap kepada akhbar ini di Putrajaya, Kohilan memberitahu, urusan membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia bukan mudah. Ketika diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam misi membawa pulang pelajar Malaysia, beliau akur bahawa cabarannya bukan sedikit.

Pagi Rabu, ketika Kohilan dan beberapa pegawai Wisma Putra tiba di lapangan terbang di Kaherah, beliau melihat gambaran suasana yang berbeza seperti mana yang disaksikan serta dilaporkan di televisyen.

“Demonstrasi ganas dan rusuhan yang kita saksikan di TV di Malaysia sebenarnya berlaku di jalan-jalan besar di beberapa kawasan tertentu manakala kawasan lain yang kebanyakannya dihuni pelajar dan rakyat Malaysia tidak terbabit.

“Namun di tempat penginapan saya di Kedutaan Malaysia ini, jalannya adalah jalan utama yang menghala ke Istana Presiden. Ini antara kawasan utama demonstrasi,” katanya.

Kohilan turut berkongsi pengalamannya dengan Utusan Malaysia petang kelmarin dalam menjayakan misi Wisma Putra membawa pulang pelajar negara.

Di tengah Kaherah ketika itu, sekatan jalan dan kereta-kereta kebal berselerak di sana sini memantau pergerakan peserta demonstrasi. Dan oleh kerana urusan penerbangan keluar pelajar memerlukan dokumen tertentu daripada Kementerian Luar Mesir, Kohilan dan beberapa pegawainya terpaksa meninggalkan kereta dan berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer untuk ke bangunan kementerian.

Dalam perjalanan, beliau dan rakan seperjuangan mengharungi deretan kereta kebal dengan mesingun dan pistol kelihatan diacu oleh tentera Mesir.

“Bukan diacu kepada kami tetapi kepada suasana ketika itu. Meskipun keadaan agak getir masa itu dengan demonstrasi yang agak ganas, kami berjaya menemui pegawai terbabit untuk kelancaran urusan,” katanya.

Rekod Kementerian Luar menunjukkan ada 11,319 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Mesir iaitu 5,184 pelajar perubatan dan 6,135 pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang pengajian Islam.

Sehingga semalam, kementerian berkenaan mengesahkan semua 7,000 pelajar Malaysia di negara tersebut berjaya dikesan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Akibat pergolakan di bumi Mesir, beberapa universiti antaranya Universiti Cairo menetapkan cuti tiga bulan kepada pelajar, Universiti al-Azhar (setahun) dan Universiti Ain Shams pula menetapkan cuti enam bulan.

Kohilan seterusnya memberitahu, oleh kerana jadual yang ketat dan kekangan masa mengejar perintah berkurung yang dikuat kuasakan mulai 1 petang, pihaknya semalam telah mula menjalankan misi untuk membawa keluar kira-kira 600 pelajar Malaysia.

Keutamaan diberikan kepada para pelajar perempuan Tahun 1 khususnya juga kepada yang sakit. Mereka akan dibawa dengan koc ke lapangan terbang sebelum diterbangkan ke Jeddah menggunakan pesawat Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) dan AirAsia.

Untuk hari ini (Jumaat) pula akan lebih banyak penerbangan MAS dan AirAsia dilakukan termasuk menggunakan kapal TUDM dan kapal laut.

“Kita ada masa yang singkat kira-kira empat jam sahaja sebelum curfew dikuatkuasakan. Setibanya mereka di Jeddah nanti, kita telah sediakan logistik dan tempat tinggal untuk mereka. Yang penting sekarang, adalah urusan membawa keluar pelajar dari Mesir.

“Justeru kita minta ibu bapa pelajar bersabar sebab kita ada urusan tertentu yang perlu dilepasi,” kata Kohilan merujuk kepada rasa tidak puas hati ibu bapa di Wisma Putra semalam terhadap apa yang didakwa mereka ‘agak lewat’ dalam misi membawa keluar pelajar itu.

Kata Kohilan lagi: “Yang penting apa yang diarahkan oleh Perdana Menteri untuk segera membawa mereka pulang, akan kita (Wisma Putra) bagi full swing.”

Demonstrasi jalanan dan rusuhan oleh rakyat Malaysia untuk mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan memasuki hari ke-11 pagi ini.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment