Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, February 4, 2011
Keadai Bawah Pokok
Kedai makan bawah pohon cenderai jadi tumpuan
Seorang pekerja membungkus nasi seorang pembeli di kedai makan bawah pokok cenderai di Jalan Padang Serai - Baling di Tasek Gelugor baru-baru ini.
TASEK GELUGOR 3 Feb. - Kini mungkin sukar untuk mencari kedai makan di bawah pokok.Kalau ada pun, ia kurang menarik perhatian pengunjung.
Bagaimanapun, sebuah kedai makan bawah pohon cenderai di Kampung Kilang Elektrik, Jalan Padang Serai-Baling di sini sentiasa menjadi tumpuan orang ramai setiap kali tiba waktu makan.
Ini kerana, kedai milik Murni Osman, 51, menyediakan lebih 20 jenis lauk-pauk tradisional yang pastinya membuatkan pengunjung rambang mata untuk memilih.
Menurutnya, semua hidangan di situ disediakan menggunakan resipi tersendiri yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
"Saya sendiri membuatnya kerana perkara-perkara yang berkaitan perencah tidak boleh diserahkan kepada orang lain.
"Ini penting supaya pelanggan dapat menikmati keenakan yang sama setiap kali makan di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dia dibantu oleh dua tukang masak berpengalaman iaitu Badariah Md. Isa, 45, dan Nur Fadhilah Mohd. Sukri, 21.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kedai tersebut mula sibuk seawal pukul 11 pagi di mana para pelanggan mula datang sama ada untuk menikmati makanan di situ atau membawa pulang.
Keadaan itu berterusan sehinggalah operasi perniagaannya berakhir pukul 4 petang.
Selain jumlah hidangan yang banyak, harga yang murah juga antara penyebab kedai tersebut diminati.
Menurut Murni, ramai di kalangan pelanggannya mendakwa harga makanan di situ jauh lebih murah berbanding tempat-tempat lain.
"Kebanyakan pelanggan merupakan pekerja kilang, pemandu lori dan penduduk kampung berdekatan, kenalah saya jual dengan harga berpatutan.
"Terdapat juga kakitangan kerajaan datang terutama pada waktu makan tengah hari," ujarnya.
Murni menambah, dia lega setiap kali mendengar pelanggannya berpuas hati dengan rasa, perkhidmatan dan harga di kedainya.
Katanya, dia telah mengusahakan perniagaan di situ lebih dua tahun dan berharap populariti kedai itu berkekalan selepas diambil-alih oleh waris-warisnya nanti.
Sementara itu, seorang pengunjung, Ahmad Desa, 60, memberitahu, dia sering membeli makanan di situ kerana harganya yang murah.
Selain murah, jelasnya, hidangannya juga sedap dan menyelerakan.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia sanggup menaiki motosikal sejauh lapan kilometer untuk ke situ.
Seorang surirumah, Yusnita Suraini Abdul Samad, 36, pula berkata, dia datang ke situ apabila kehabisan 'modal' untuk memasak di rumah.
"Kadangkala saya tiada idea apa nak dimasak untuk keluarga.
"Oleh itu, jalan terbaik adalah beli lauk di sini. Harganya murah, pilihan pula pelbagai," ujarnya.
Manakala Rodiah Musa, 55, mengakui dia dan keluarganya merupakan antara pelanggan tetap di situ.
"Kadangkala bila terasa nak berkumpul bersama keluarga, kedai inilah yang saya anggap sesuai.
"Tempat ini nyaman kerana di bawah teduhan, susah nak cari tempat makan begini," katanya lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment