Monday, February 7, 2011

Buat Pengajaran

Konflik di Mesir pengajaran untuk semua

APA yang berlaku di Mesir memberikan beberapa kesan dan pengajaran kepada kita. Pertama, dengan gelora yang melanda Mesir, pelajar-pelajar kita yang berjumlah kira-kira 11, 000 orang terpaksa dibawa balik. Ini bermakna pengajian mereka akan tergendala buat seketika. Kedua, apa yang kita saksikan berlaku di Mesir telah memberikan rangsangan kepada negara-negara berdekatan seperti Yemen, Jordan dan Sudan.

Ketiga, kita sedia maklum harga minyak melambung ke paras AS$102 setong pada 1 Februari membuatkan RON97 dinaikkan.

Apa yang kita difahamkan ialah Presiden Hosni Mubarak telah membuat pendirian yang sekiranya dia meletakkan jawatan serta merta, Mesir akan berdepan dengan kacau bilau. Apa yang bermula dengan tunjuk perasaan yang aman mendesak dia meletakkan jawatan telah bertukar corak kepada keganasan sehingga ramai yang terbunuh dan cedera kerana pihak yang menyokong Mubarak mula bertindak.

Ramai wartawan antarabangsa telah diserang dan kelengkapan mereka turut dirosakkan. Suasana ini membuatkan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton menyatakan rasa terkejut dan memberi 'amaran'.

Kalau keadaan satu pihak yang menyokong dan satu pihak lagi menentang kerajaan berterusan dengan keganasan, nescaya Mesir akan hancur dengan perang saudara. Dari segi ekonomi, kebimbangan Terusan Suez ditutup akan menimbulkan masalah dari segi penghantaran minyak kerana laluan gantian akan bertambah sebanyak 6,000 kilometer melalui hujung benua Afrika. Harga minyak akan melambung tinggi dan RON95 mungkin terpaksa akan dinaikkan harga.

Apa yang berlaku di Mesir adalah ekoran pemerintahan seorang presiden selama 30 tahun yang dipenuhi dengan rasuah dan keadaan ekonomi yang lemah dengan pengangguran begitu tinggi. Mesir merupakan kawan baik Amerika Syarikat dan Israel.

Kebangkitan gelombang antikerajaan di Mesir bermula dengan belia-belia yang sudah muak dan resah terhadap pemerintahan yang dipandang korup dengan keadaan ekonomi yang tidak memberikan mereka peluang pekerjaan diikuti harga barang-barang yang tinggi. Ia banyak dibantu oleh rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang kemudiannya telah diharamkan oleh pihak pemerintah sehingga 2 Februari lalu.

Kita wajar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia. Dua perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah soal remaja dan rangkaian sosial. Mana-mana negara mempunyai golongan muda lebih ramai daripada golongan dewasa, selalunya hampir 60 peratus daripada jumlah penduduknya.

Dengan adanya rangkaian hubungan yang paling popular di dunia sekarang ini, mesej boleh disampaikan dengan begitu pantas dan perkumpulan boleh berlaku dengan begitu cepat.

Bagi kita yang bakal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi, kedua-dua pengaruh kuat yang boleh mengubah landskap kerajaan dan pemerintah itu wajar diberi perhatian. Ramai daripada belia yang ada sekarang mempunyai akses kepada dunia siber dan lebih terdorong dengan berita sensasi dan bertentangan dengan kerajaan, ditambah pula dengan kumpulan pembangkang yang begitu aktif.

Justeru, pihak pemerintah mestilah berusaha merapatkan diri dengan golongan muda dan mendengar rintihan mereka. Kalau orang muda yang baru lulus universiti dan dengan gaji yang ada tidak mampu membeli rumah atau kenderaan, ditambah pula dengan harga barang keperluan asas yang terus naik, tentu sekali kesemua itu akan membuatkan golongan ini gelisah.

Kita sedang menyaksikan trend kenaikan harga barang-barang, malahan meliputi banyak barang keperluan asas dan diikuti dengan kadar inflasi yang kian meningkat, yang kadar rasminya tidak begitu tepat. Selaras dengan usaha mengurangkan subsidi, perkara-perkara ini boleh dijadikan bom jangka oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh.

TAJUK-TAJUK BERITA

No comments:

Post a Comment