Monday, February 7, 2011

TQ

Krisis di Mesir: Terima kasih Perdana Menteri!

SAYA mempunyai seorang anak yang belajar di Mesir, Ainin Sofiya Baharudin yang sekarang menuntut di Tanta Universiti dalam bidang Pergigian tahun pertama di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Melalui ruangan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak atas keperihatiannya terlibat secara langsung dalam menguruskan kebajikan pelajar dan warga negara kita yang berada di Mesir.

Di peringkat awal krisis di Mesir, sememangnya kami sebagai ibu bapa dan penjaga pelajar yang berada di Mesir berasa cukup risau dengan keselamatan anak-anak kami di sana. Kami juga berasa agak panik. Ada yang menyatakan bahawa kerajaan lambat bertindak.

Alhamdulillah, kami ibu bapa bersyukur kehadrat Ilahi apabila Perdana Menteri sendiri menyatakan kesediaan penuh kerajaan untuk membantu membawa pulang pelajar di sana. Ini menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan mengambil berat keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya sama ada di dalam atau di luar negara.

Pada pandangan peribadi saya, pihak kerajaan bukan lambat bertindak tetapi segala tindakan yang hendak diambil perlu teliti dan berhati-hati. Ini kerana ia melibatkan lebih daripada 11,000 orang pelajar serta berada di merata bumi Mesir.

Cuba bayangkan, bagaimana sukarnya Kedutaan Malaysia di Mesir untuk mengendalikan jumlah pelajar dan warga yang seramai ini, lebih-lebih lagi mereka mempunyai kakitangan dan logistik yang terhad kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Wisma Putra yang mana pegawai bertugas di onlinenya sentiasa memberi kerjasama dan maklumat apabila diperlukan. Saya juga difahamkan oleh anak saya pegawai kedutaan di Mesir sentiasa berusaha memantau pelajar di sana.

Tidak lupa juga kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia di sana yang sentiasa memberi maklumat melalui blog-blog kepada ibu bapa di Malaysia. Tahniah diucapakan kepada semua. Mudah-mudahan segala usaha yang diberikaan akan mendapat ganjaran dari Allah.

BAHARUDIN HUSIN

Rembau, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment