Tuesday, February 1, 2011

Kecoh Dapat Kunci


Majlis serah kunci rumah kecoh


SEBAHAGIAN daripada pembeli rumah berbincang mengenai masalah pampasan di Taman Penaga Permai, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 31 Jan. - Kekecohan kecil berlaku pada majlis penyerahan kunci kepada pembeli rumah di Taman Penaga Permai di sini kelmarin apabila lebih 30 orang daripada mereka enggan menerimanya kerana terkilan dengan sikap pemaju.

Pertikaman lidah tercetus di antara pembeli dengan wakil pemaju, JKP Sdn. Bhd. (JKP) berikutan permintaan untuk mendapatkan pampasan akibat kelewatan menyiapkan projek berkenaan tidak dilayan.

Bagaimanapun, keadaan tersebut berjaya dikawal apabila Pengurus Pemasaran dan Jualan JKP, Mohd. Sabri Osman berjanji untuk membawa perkara itu kepada pihak atasan syarikat.

Mohd. Sabri memberitahu, beliau diarah untuk menyerahkan kunci kepada pembeli yang tidak mahu menuntut sebarang ganti rugi daripada pemaju sahaja.

"Sekiranya ada pembeli ingin membuat tuntutan, mereka boleh berbuat demikian melalui perbincangan dengan pihak pengurusan syarikat.

"Kita hanya serah kunci kepada pembeli yang bersetuju menurunkan tandatangan dan mereka boleh menduduki rumah masing-masing pada bila-bila masa kerana sijil layak menduduki (CF) telah diperolehi," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini kelmarin.

Salah seorang pembeli terbabit, Zaini Salleh, 30, memberitahu, dia tidak berpuas hati kerana pemaju enggan memberi pampasan selepas gagal menyiapkan rumah dalam tempoh ditetapkan.

Jelas Zaini, mengikut perjanjian, rumah yang dibeli pada 2006 itu sepatutnya siap dua tahun kemudian.

"Saya dan pembeli-pembeli lain berasa kami ditipu dalam beberapa perkara lain, tidak seperti dijanjikan pemaju," ujarnya.

Antaranya kualiti barangan yang digunakan untuk membina rumah.

Seorang lagi pembeli, Mohd. Faizwan Che Amat, 35, berkata, berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani, dia berhak mendapat pampasan daripada pemaju.

"Selama dua tahun kami terpaksa membayar pinjaman sedangkan rumah yang dibeli gagal disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment