Pemuda lumba haram dipenjara 18 bulan
SEREMBAN 31 Jan. - Seorang pemuda hari ini dihukum penjara 18 bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah menyertai lumba haram dua tahun lalu.
Penolong Kanan Pendaftar Siti Khairiah Abdul Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Foong Keng Yee, 25, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes.
Keng Yee yang berkemeja berwarna gelap terkejut dan terus memandang keluarganya di galeri awam sebaik sahaja Siti Khairiah membacakan keputusan.
Siti Khairiah juga memerintahkan supaya kesalahan yang dilakukan oleh Keng Yee direkodkan selain lesen memandunya digantung selama dua tahun.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ketika itu memandu kereta jenis Proton Saga didakwa memandu dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain di Jalan Dato Bandar Tunggal, Jalan Kapitan Tam Yeong dan Jalan Yam Tuan pada pukul 2.20 pagi, 22 November 2009.
Didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara lima tahun atau denda minimum RM5,000 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Johan Teng yang mewakili Keng Yee, meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.
Beliau juga merayu supaya Keng Yee yang bekerja sebagai tukang rumah tidak dikenakan hukuman penjara kerana dia menghidap penyakit kulit dan perlu menjalani rawatan secara berterusan.
Namun, Pegawai Pendakwa Trafik, Cif Inspektor M. Shanmugavel memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh adalah serius.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment