700,000 kondom dari Malaysia ke Jepun hilang
IPOH 9 Feb. - Sebuah kontena mengandungi lebih 700,000 kondom ultra nipis bernilai RM850,000 yang dihantar dari dua buah kilang milik sebuah syarikat Jepun di sini, didapati kosong setelah tiba di Tokyo pada 25 Januari lalu.
Kelengkapan seks itu dihasilkan di dua buah kilang iaitu Sagami Manufacturers Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah dan Kawasan Perindustrian Jelapang di sini.
Ia yang dimuatkan dalam kontena dihantar ke Tokyo pada 6 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Amarjit Singh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kehilangan misteri kandungan kontena itu.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pusing, Batu Gajah pada 25 Januari manakala satu lagi di Balai Polis Ipoh sehari kemudian.
"Berdasarkan laporan itu, lori kontena tersebut keluar dari kilang di Batu Gajah pada 6 Januari dan singgah di kilang di Jelapang sebelum ke Pelabuhan Klang, Selangor dan kontena itu disimpan selama beberapa hari sebelum dihantar ke Jepun.
"Di Jepun pula, kontena itu disimpan selama beberapa hari sebelum kehilangan kandungannya disedari pihak pengurusan kilang di Jepun pada 25 Januari lalu. Tempoh keseluruhannya kes ini adalah selama tiga minggu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Amarjit, setakat ini, pihaknya belum membuka kertas siasatan kerana belum dapat dipastikan di mana sebenarnya kecurian itu berlaku.
"Polis sedang bekerjasama dengan syarikat yang membuat laporan serta pihak insurans untuk menentukan di mana insiden itu berlaku.
"Namun, pihak syarikat itu sendiri tidak dapat menyatakan di mana kehilangan itu berlaku dan laporan polis yang dibuat juga terlalu umum," ujarnya.
Tambah beliau, pihak Sagami Manufacturers Sdn. Bhd. hanya membuat laporan polis itu setelah dimaklumkan oleh syarikat induk, Rubber Industries Co. Ltd, Japan mengenai kehilangan barangan itu.
"Pihak insurans dan syarikat tersebut sedang membuat penyiasatan berhubung beberapa kod penghantaran," ujarnya.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi pengurusan ibu pejabat kilang Sagami Manufacturers Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah tidak berjaya apabila diberitahu bahawa pengurusnya sedang bercuti dan tiada kakitangan lain yang boleh memberikan kenyataan.
Pihak pengurusan cawangan kilang Sagami Manufacturers Sdn. Bhd. di Jelapang pula enggan membuat sebarang ulasan kerana hanya pihak ibu pejabat di Batu Gajah sahaja boleh memberikan ulasan.
Namun, seorang kakitangan syarikat itu memberitahu kontena tersebut dihantar dari kilang di Jelapang tetapi kehilangan misteri 700,000 kondom itu hanya disedari di Tokyo.
"Saya tidak tahu kondom itu hilang di mana tetapi kontena itu dibawa keluar dari sini dan hanya tahu ia kosong apabila sampai di Jepun," katanya.
Mengikut laporan AFP hari ini, seorang pengurus kanan Sagami Rubber Industries Co Ltd, Japan, Sato Koji berkata, pihaknya sedih dengan insiden kehilangan tersebut.
Sato berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kehilangan barangan tersebut semasa dalam proses penghantaran dari Malaysia ke Jepun itu.
"Kami tidak gembira dengan kehilangan ini. Ini merupakan kali pertama perkara seperti ini berlaku sejak kami memulakan operasi di Malaysia pada 1997," katanya.
Sagami Rubber Industries Co. Ltd, Japan merupakan kilang pertama dari Jepun yang menghasilkan kondom.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN
No comments:
Post a Comment