21 pelajar sekolah, kolej ponteng diberkas
KANGAR 9 Feb - Seramai 17 pelajar sebuah sekolah menengah, dua daripadanya perempuan yang ponteng sekolah dan leka menghisap rokok di sebuah rumah di sini, lari lintang pukang selepas kediaman itu diserbu anggota polis dan pihak sekolah.
Serbuan dilakukan lima anggota polis bersama pengetua dan dua guru disiplin sekolah terbabit di rumah itu yang terletak bersebelahan dengan sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, serbuan dilakukan di rumah dua tingkat setelah pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang tidak tahan dengan tindakan pelajar berkenaan kerana sering membuat bising di rumah itu.
"Ketika intipan dibuat, terdapat 21 pelajar, empat daripadanya pelajar kolej berdekatan sedang berbual-bual dan menghisap rokok dalam rumah tersebut," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.
Beliau menambah, polis yang cuba memasuki rumah tersebut gagal berbuat demikian kerana pintu berkunci dari dalam dan mereka terpaksa menunggu lebih lima minit sebelum salah seorang daripada mereka membuka pintu.
Dalam masa yang sama, katanya, para pelajar sekolah berkenaan termasuk ada antara mereka masih berpakaian sekolah cuba melarikan diri ke tingkat atas rumah tersebut namun berjaya ditahan.
Menurut Ismail, rumah berkenaan sering menjadi tumpuan para pelajar untuk ponteng sekolah dan ia merupakan rumah sewa salah seorang pelajar kolej yang berdekatan.
"Mereka yang ditahan berusia antara 14 dan 20 tahun termasuk dua pelajar perempuan berusia 14 tahun.
''Mereka dibawa ke balai polis di sini untuk ujian saringan air kencing dan dokumentasi," katanya.
Beliau menegaskan, pihak sekolah akan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk tujuan kaunseling.
Dalam pada itu katanya, pihak polis akan meneruskan operasi seperti itu bagi mencegah kegiatan ponteng sekolah di kalangan pelajar.
No comments:
Post a Comment