Saturday, February 5, 2011

Pak Cik Flinstone



Jejak Pak Cik Flintstones
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Seorang warga emas menjalani kehidupan seharian dalam keadaan serba kekurangan di Ladang Sungai Plentong, termasuk menutup tubuhnya dengan melilit kain lusuh di pinggang, menyebabkan dia seakan-akan ‘Pak Cik Flintstones’ dalam satu siri kartun televisyen.

Khoo Ah Siang, 61, menghuni pondok usang didirikan menggunakan bahan kitar semula dan kayu terbuang sejak 15 tahun lalu tidak berpeluang menyambut Tahun Baru Cina kerana kedaifan hidup.


“Saya mahu bergembira setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, tapi tak mampu berbuat demikian kerana daif. Walaupun disisih keluarga kerana menganggap saya seorang yang jijik, saya tetap menguatkan semangat meneruskan kehidupan.

“Saya tinggal di pondok usang ini sejak 15 tahun lalu dan hingga kini masih bergantung kepada sumber semula jadi termasuk air hujan serta parit memandangkan tempat tinggal saya tiada kemudahan asas,” katanya.


Kedaifan warga emas itu disedari sekumpulan sukarelawan ketika melakukan lawatan ke kawasan perkampungan berkenaan baru-baru ini bagi meninjau kehidupan golongan miskin menerusi Program Nadi Kasih Parlimen Pasir Gudang.


Berkongsi kisah hidupnya, Khoo berkata, dia yang hidup membujang sudah biasa bergantung kepada sumber semula jadi untuk meneruskan kehidupan seharian memandangkan itu saja yang boleh diperoleh secara percuma.

“Kebiasaannya, saya membersihkan badan serta mencuci pakaian di sungai di tepi rumah.


“Saya menadah air hujan untuk minum dan keperluan lain apabila bekalan air bersih disalurkan seminggu sekali oleh pihak berkaitan habis,” katanya yang menganggur sejak 10 tahun lalu.

Kawasan berkenaan masih belum dibekalkan kemudahan air dan difahamkan permohonan bagi memperoleh bekalan itu dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Menurut Khoo, meskipun mempunyai saudara termasuk kakak kandung yang tinggal di sekitar bandar raya ini, dia lebih rela meneruskan kehidupan bersendirian di pondok yang serba kekurangan itu kerana tidak mahu membebankan mereka.


Dia bernasib baik kerana masih dibantu individu bermurah hati termasuk jiran dan bekas majikan yang kerap menghulurkan bekalan makanan kerana simpati melihatnya bercucuk-tanam dan mengutip sayuran tumbuh meliar di kawasan itu.


“Sebelum ini, saya rajin bercucuk-tanam tetapi berhenti kerana menghidap gout.


“Bagaimanapun, saya masih suka memasak sendiri bekalan makanan disumbangkan menggunakan dapur kayu dan arang,” katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak lebih 10 tahun lalu di sebuah restoran di bandar raya ini. Menurut Khoo, berbanding penduduk lain di perkampungan itu yang mempunyai bekalan elektrik, dia masih menggunakan pelita minyak tanah bagi menerangi pondok pada waktu malam untuk mengelak gigitan haiwan berbisa. “Setakat ini, saya tetap tidak putus harapan sebaliknya sentiasa berdoa supaya penyakit saya segera sembuh. Saya mahu bercucuk tanam semula dan tidak mahu menyusahkan individu berhati mulia yang sering menghulurkan sumbangan makanan,” katanya.


Sehingga kini, Khoo masih gagal mendapatkan rawatan di hospital kerana tidak berkemampuan.


Semalam, warga emas itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk, Setiausaha Jawatankuasa kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Plentong, Mohd Said Budin dan Ahli Jawatankuasa JKKK kampung itu, Amzah Moiden.

No comments:

Post a Comment