Saturday, February 5, 2011

Tuduh

RM20,000 lesap: PDRM nafi terlibat

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan pembabitan anggota dan pegawainya dalam kes seorang wanita hamil yang mendakwa wang tunai RM20,000 miliknya lesap ketika kedainya diserbu dalam pemeriksaan di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, anggotanya tidak terlibat dalam kehilangan wang tunai seperti yang didakwa wanita itu menerusi dua laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan menyiasat dakwaan itu dan buat masa ini, tiada perkembangan baru mengenai kejadian tersebut.

"Saya hanya boleh mengesahkan di sini bahawa kita masih siasat kes itu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Arjunaidi mengulas tindakan seorang wanita berusia 36 tahun yang hamil lapan bulan membuat dua laporan polis iaitu pada Selasa lalu dan hari ini berhubung kejadian tersebut.

Dalam laporan itu, wanita tersebut yang membuka kedai runcit dan peralatan telekomunikasi mendakwa, premisnya diserbu oleh sepasukan anggota dan pegawai polis pada pukul 6.30 petang, Isnin lalu.

Polis pada sidang akhbar sebelum ini memaklumkan, serbuan tersebut dilakukan untuk memberkas seorang lelaki warga Bangladesh yang berada di kedai itu dan dipercayai pengedar dadah.

"Bagaimanapun, ketika serbuan, lelaki tersebut meloloskan diri manakala hasil pemeriksaan polis menemui 198 karton rokok seludup, enam botol minuman keras serta wang RM15,900 dalam kaunter kedai tersebut," katanya.

Sehari selepas kejadian, wanita terbabit membuat laporan mendakwa dia dikasari ketika serbuan itu, manakala pintu jeriji premisnya dipotong selain wang tunai RM20,000 yang disimpan dalam beg tangannya lesap.

Arjunaidi memberitahu, pegawai penyiasat yang melakukan serbuan itu merampas wang RM15,900 kerana ia untuk siasatan setelah dipercayai hasil keuntungan haram.

Menurutnya, wang tunai itu sudah dipulangkan kepada wanita tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis terpaksa memotong besi jeriji premis setelah wanita itu enggan membukanya ketika diminta berbuat demikian.

"Polis juga akan menyiasat dakwaan wanita itu bahawa dia ditampar ketika disiasat dan jika benar, kita mengambil tindakan terhadap individu terlibat," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA L

No comments:

Post a Comment