Saturday, February 5, 2011

Babi Menggigit

Bunga nyaris maut diserang babi hutan di kebun limau madu

JELI 4 Feb. - Seorang wanita warga emas nyaris maut diserang babi hutan di Kampung Gemang dekat sini ketika memetik limau madu untuk keluarga di kebunnya pagi Isnin lepas.

Ekoran kejadian itu, Bunga Musa, 70, kini dirawat di Hospital Jeli kerana cedera parah di beberapa bahagian badan dalam kejadian 8 pagi di kebun yang terletak kira-kira empat kilometer dari kediamannya.

"Makcik sudah biasa ke kebun, selain menoreh getah, makcik juga ada menanam limau madu dan pada hari kejadian, makcik sebagaimana biasa, berseorangan keluar ke kebun untuk memetik buah limau madu yang sedang masak meranum," katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, dengan tidak semena-mena, babi hutan itu keluar dari semak berhampiran dan terus menyerangnya yang tidak mampu melawan walaupun ketika itu membawa sebilah parang panjang untuk menebas rumput.

"Ketika itu, makcik memang tak mampu buat apa-apa...makcik sudah rebah ke tanah dan haiwan itu berterusan menyondol dan menggigit...makcik hanya mampu berdoa," katanya.

Selepas hampir setengah jam menggigit badannya, Bunga berkata, haiwan itu secara tiba-tiba berhenti sebelum berlari ke dalam hutan dan dia kemudian menggagahi diri berlari keluar dari kebun itu untuk meminta bantuan penduduk terdekat. - BERNAMA
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment