Monday, November 8, 2010

Bagi Peluang

Beri peluang pelajar hamil sambung pendidikan

KUCHING 7 Nov. - Pelajar yang hamil luar nikah wajar diberikan peluang untuk meneruskan pelajaran masing-masing sejurus selepas melahirkan anak bagi memastikan mereka mempunyai masa depan yang lebih baik.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, pelajar terlibat tidak boleh dihalang untuk menyambung semula pengajian selepas melahirkan anak walaupun mereka hamil luar nikah atas sebab perhubungan terlarang atau kes penganiayaan seperti rogol.

Menurutnya, bidang pendidikan adalah keperluan asas dan amat penting kepada anak-anak terutama di kalangan mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun.

Malah katanya, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri turut berpendapat bahawa pelajar hamil luar nikah tidak boleh diberhentikan sekolah.

''Saranan kita ialah mereka yang hamil boleh mengambil cuti sakit sehingga melahirkan anak dan kemudian memohon semula untuk kembali ke sekolah sekiranya masih ingin meneruskan pelajaran.

''Dalam hal ini, adalah menjadi harapan kita agar pihak sekolah memberi peluang kepada anak-anak ini bagi membolehkan mereka mendapatkan pendidikan yang sama seperti rakan-rakan lain," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Keibubapaan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dalam pada itu Fatimah memberitahu, kerajaan telah mewujudkan sistem sokongan bagi melindungi mereka yang berusia bawah 18 tahun sekiranya mengandung luar nikah.

Menurutnya, sistem sokongan itu adalah antara usaha kerajaan untuk mengelak pengabaian, pembuangan dan kematian bayi yang baru lahir.

''Di pusat jagaan ini, wanita-wanita yang hamil akan diberi perlindungan agar dapat melahirkan anak mereka dalam keadaan yang selamat serta menjaga sendiri anak-anak mereka sebelum dijadikan anak angkat atau dijaga oleh keluarga sendiri," katanya.

Ketika ini jelasnya, terdapat sebuah pusat perlindungan wanita mengandung di negeri ini iaitu Pusat Jagaan Sinar Kasih yang terletak di Taman Sri Puteri Telaga Air menempatkan empat kes hamil luar nikah dan kebanyakan berusia kurang daripada 18 tahun.

No comments:

Post a Comment