Tuesday, November 16, 2010

Padah Memutuskan Kasih

Siram minyak hitam
Oleh Salman Hamat

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang wanita memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya bertukar mimpi ngeri apabila dia bukan saja dibelasah di sebuah rumah di Kulai, malah turut dimandikan dengan minyak hitam oleh teman lelakinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, lelaki terbabit hilang pertimbangan selepas mangsa yang tawar hati dengannya menyatakan hasrat berkenaan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa dibelasah menggunakan kayu di belakang badannya selain disepak beberapa kali sehingga tersungkur.

Tanpa menghiraukan rintihan dan rayuan mangsa supaya tidak diperlakukan sedemikian, suspek yang berusia 18 tahun memijak badan gadis berkenaan sambil menarik rambutnya.



Suspek menyimbah minyak hitam ke atas mangsa selain melumur cecair terbabit di mukanya.


Mangsa cuba melarikan diri, tetapi gagal dan akibatnya dia dihumban ke dalam rumah dan ‘dihukum’ lebih teruk lagi oleh suspek.

Dalam laporannya, mangsa mengatakan kejadian itu bukan pertama kali menimpa dirinya, malah suspek kerap bertindak ganas setiap kali mereka bertengkar.

Mangsa mendakwa suspek turut mengugut hendak menikamnya jika membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mangsa, kelmarin.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kami mengesan lokasi remaja lelaki terbabit untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment