Thursday, November 18, 2010

Tolak Cinta Kena Tolak Sampai Mati

Putuskan hubungan cinta, wanita maut ditolak kekasih

PULAU PINANG 17 Nov. - Akibat cinta yang tidak berbalas, seorang penjual surat khabar warga India sanggup menolak kekasihnya, wanita rakyat Indonesia dari motosikal sehingga terjatuh.

Malangnya, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan koma sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira 13 jam kemudian semasa menerima rawatan di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi semalam di hadapan rumah mangsa di Jalan Pahang di sini.

Katanya, ketika kejadian pasangan itu keluar bersama dengan menaiki motosikal milik suspek berusia 30-an sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Suspek lalu memberhentikan motosikalnya dan pertengkaran menjadi semakin tegang selepas mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah menyatakan hasrat untuk memutuskan cinta.

"Berikutan itu, suspek telah menolak mangsa sehingga jatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala.

"Suspek yang ketakutan bertindak meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang awam yang melihat mangsa di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri membawa wanita itu ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia selepas 13 jam kemudian setelah berada dalam keadaan koma.

"Suspek ditahan beberapa jam hasil maklumat rakan mangsa yang menerima panggilan daripada suspek. Suspek mengaku melakukan perbuatan itu," ujarnya.

Menurut beliau, suspek ditahan di premis tempatnya bekerja di Jalan Datuk Keramat di sini, dan dia direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

"Suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah 23 November ini," katanya.

No comments:

Post a Comment