Tuesday, November 9, 2010

Along Dah Pandai Buat Bom

Ah long lempar molotov

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Jika sebelum ini, ah long sering dikaitkan dengan perbuatan menyimbah cat merah atau merosakkan kediaman mangsa, nampaknya golongan pemberi pinjaman wang haram ini kian melampau.

Ah long kini tidak lagi berniat untuk menakut-nakutkan, sebaliknya bertindak seolah-olah ingin 'mengambil nyawa' peminjam yang berhutang dengan mereka.

Dalam satu kejadian terbaru pada 27 Oktober lalu, 13 sekeluarga nyaris maut apabila sederet tiga kediaman rumah teres mereka di Taman Desa Rasah di Seremban, Negeri Sembilan, dilempar dua butir bom molotov - dipercayai dilakukan oleh ah long.

Tindakan ini ekoran salah seorang ahli keluarga tersebut dikatakan gagal melangsaikan hutangnya sebanyak RM140,000 kepada seramai 12 ah long, selepas meminjam untuk membiayai tabiat berjudinya sejak awal tahun ini.

Lelaki berusia 27 tahun itu sendiri telah menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu, namun 13 ahli keluarga termasuk ibu bapanya yang tidak berdosa pula merasai tempiasnya malah hampir terbunuh.

Bapa kepada kaki judi itu yang dikenali sebagai Lim Lai, 63, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan kesemua ahli keluarganya sedang tidur nyenyak pada pukul 1.30 pagi.

"Mujurlah kami semua dikejutkan dengan jeritan jiran yang menjerit api, api. Kami semua terus bergegas keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.

"Tanpa pengetahuan kami, anak derhaka ini menggunakan kad pengenalan ibunya sebagai penjamin untuk meminjam daripada ah long,

"Sebelum ini kami berdua telah bantu dia melangsaikan hampir RM70,000. Dia hilangkan diri, maka kami pula yang dicari ah long," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Tambah warga emas itu, 10 hari sebelum kejadian, kediaman mereka turut disimbah cat merah.

Berikutan kejadian itu, keluarga berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Seremban, namun mendakwa tiada tindakan lanjut daripada polis setakat ini.

No comments:

Post a Comment