Thursday, November 25, 2010

Harga Tanah

Harga tanah tidak masuk akal

Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my

AHMAD Said bersalaman dengan anggota keselamatan yang hadir selepas menyampaikan ucapan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 24 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terkejut dengan kadar nilai bagi pengambilan balik tanah di sekitar kawasan bandar raya ini yang disifatkannya sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Beliau memberitahu, perkembangan itu boleh merencatkan usaha membangun dan menyusun semula kawasan bagi merancakkan kemajuan dan mencorakkan persekitaran kehidupan lebih selesa.

Katanya, berdasarkan laporan penilaian, nilai untuk sekeping lot tanah telah mencecah RM1.5 juta dan ia mencapai sehingga kira-kira RM4 juta jika lot itu terdapat premis bertingkat.

Malah beliau dimaklumkan, nilai yang perlu dibayar balik kerajaan untuk sebuah rumah yang sudah usang dan hampir roboh mencecah RM31,000 selain nilai bagi reban ternakan sebanyak RM4,000.

Ahmad berkata, sekiranya senario itu berterusan, bermakna sekitar kawasan bandar raya ini terutama di kawasan berhampiran tidak akan berubah wajah walaupun untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Jika terlalu mahal (penilaian tanah) kita tak akan maju. Nilai yang bukan-bukan ini boleh merosakkan pembangunan di negeri ini.

‘‘Kalau macam inilah, 50 tahun lagi pun, macam inilah wajah Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perjumpaan Bersama Anggota Keselamatan di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za‘abar Mohd. Adib dan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Ahmad mengakui kerajaan negeri tidak mampu untuk menyediakan peruntukan bagi bayaran pengambilan balik tanah sekiranya nilai yang ditetapkan terlalu tinggi.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta negeri bagi mendapatkan penjelasan berhubung kadar nilai sebenar.

“Contohnya, ada reban ayam nilainya RM4,000 (sebuah), kabinet dalam rumah sampai RM10,000. Ini baru kabinet, bagaimana pula dengan rumah,” katanya.

Julai lalu, Ahmad berkata, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk membina lebih 13,000 unit rumah mampu milik di sekitar bandar raya ini menjelang 2013 untuk menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk.

Katanya, kesemua rumah kediaman di bawah peruntukan kerajaan negeri itu membabitkan kos hampir RM800 juta dengan kerja pembinaan dilakukan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment