Friday, November 5, 2010

Miskin


Hidup derita di rumah usang

Oleh AINSAFRI BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

JUMRY Mohd. Nor (tengah) bersama isteri, Salma Itai dan anak serta cucunya di rumah usang di Labu Kubong, Teluk Intan, baru-baru ini.

TELUK INTAN 4 Nov. -Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Sepasang suami isteri warga emas yang memiliki 10 orang anak terpaksa hidup berhimpit di sebuah rumah usang tanpa kemudahan asas sempurna.

Jumry Mohd. Nor, 86, dan isterinya, Salma Itai, 62, dari Kampung Kunci Air 4, Labu Kubong di sini hanya mampu hidup berteduhkan rumah yang dibina daripada kayu papan terpakai berdindingkan kain selain atapnya telah bocor.

Akibat kudrat yang tidak lagi menyebelahinya, Jumry sekadar menyimpan angan-angan untuk menyediakan rumah lebih selesa buat keluarga.

''Saya tidak boleh bekerja lagi kerana mengalami sakit tua sejak 20 tahun lalu serta tidak mempunyai duit simpanan.

''Apa yang ada itulah yang akan kami anak-beranak makan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.

Mujur isterinya masih boleh bekerja mengutip buah kelapa sawit dengan upah sebanyak RM10 sehari.

Menurut Jumry, buat masa ini, tujuh daripada 10 anaknya yang berusia antara 23 dan 41 masih tinggal di rumah tersebut selain lima orang cucu.

Menceritakan kisah hidupnya, bapa malang ini berkata, walaupun anak-anaknya sepatutnya telah mampu berdikari, kesemua mereka hidup 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.'

Mereka, kata Jumry, bernasib baik kerana tanah dan rumah yang didiami itu adalah wasiat yang ditinggalkan oleh ayahnya.

Mengenai bantuan, katanya, dia tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak bertanggungjawab kerana tidak mengetahui prosedur yang ditetapkan selain tidak tahu ke mana sepatutnya harus dituju.

''Saya tak tahu nak minta bantuan pada siapa. Saya tidak bersekolah, tak pandai membaca dan menulis," katanya perlahan.

Apa yang menyedihkan, kata Jumry, ketua kampung pernah mengunjungi rumahnya ketika dia dan anak-anak hanya menikmati nasi berlaukkan kicap bagaimanapun, kemiskinan yang dialami langsung tidak dipedulikan.

''Ketika itu ketua kampung datang untuk hantar surat minta hadir satu perjumpaan tapi dia langsung tidak bertanya tentang keadaan kami.

''Seolah-olah kami disisih oleh masyarakat kampung sendiri kerana keadaan kami yang miskin, kami sering diketepikan daripada menghadiri kenduri. Kami ibarat 'melukut di tepi gantang'," katanya.

Sementara itu, Salma berkata, dia terpaksa bangun awal pagi untuk ke ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya, dia rela berkorban membantu suaminya dengan mengambil upah mengutip buah kelapa sawit meskipun pernah terserempak dengan ular dan babi hutan ketika dalam perjalanan ke sana.

''Kami perlu teruskan hidup, terpaksalah bekerja," katanya termenung mengenangkan nasib diri.

No comments:

Post a Comment