Thursday, November 11, 2010

Dadah Pecah Dalam Perut

Maut dadah ditelan pecah di perut

Oleh TAN MING WAI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Seorang lelaki warga Iran disyaki menjadi 'keldai dadah,' maut selepas satu daripada 49 ketulan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM125,000 yang ditelan, pecah di dalam perutnya, semalam.

Suspek berusia 27 tahun yang memasuki Malaysia sebagai pelancong itu dipercayai meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital pukul 12 tengah hari.

Pemeriksaan mendapati suspek baru tiba di negara ini menerusi penerbangan dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Dia kemudian menginap di rumah seorang rakannya yang terletak di Serdang, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, suspek kemudian mengadu sakit perut lalu dihantar ke Hospital Serdang oleh rakannya itu.

"Bagaimanapun, setibanya di hospital, suspek meninggal dunia dan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayatnya menemui 49 ketulan kapsul dadah yang dibalut rapi, disyaki syabu.

"Semua ketulan dadah yang dikeluarkan daripada badan suspek seberat 438 gram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nordin menambah, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu bagi mengenal pasti penglibatan individu lain termasuk rakan suspek.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian pada 29 September lalu, seorang lelaki warga Iran berusia 34 tahun yang menjadi 'keldai dadah' turut ditemui maut di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini, selepas menelan ketulan dadah.

Bedah siasat mendapati dua ketulan syabu seberat 19 gram yang ditelan suspek tersumbat pada usus besarnya.

No comments:

Post a Comment