Wednesday, November 24, 2010

Hospital Jawap

Hospital Putrajaya jawab dakwaan gagal urus pesakit

PUTRAJAYA 23 Nov. - Hospital Putrajaya hari ini menolak dakwaan bahawa pihaknya gagal mengesan serangan strok yang dihadapi seorang pesakitnya yang dimasukkan ke Wad 4B sejak 7 November lalu.

Pengarahnya, Dr. Nora'i Mohd. Said berkata, pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital itu kerana mengalami kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik akibat komplikasi penyakit diabetes.

"Pesakit berasa lemah akibat kehilangan kandungan air dalam badan dan berasa letih ekoran kesan sampingan biasa daripada bius 'diuretics' yang diberikan kepadanya.

"Namun hampir dua minggu di wad, keadaannya beransur pulih. Justeru dakwaan mengatakan doktor tidak mengetahui bahawa pesakit baru diserang strok adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Dr. Nora'i, pada 19 November lalu, pesakit mengadu lemah tetapi pemeriksaan klinikal sistem saraf dan musculoskeletal adalah normal.

Bagaimanapun, semasa rondaan pada pagi 20 November, barulah disahkan pesakit mengalami strok melalui tanda-tanda klinikal.

"Seperti yang diketahui, penyakit strok berlaku secara tiba-tiba dan diagnosis hanya boleh dibuat dengan sokongan pemeriksaan klinikal oleh doktor menerusi kaedah imbasan otak.

"Serangan boleh berlaku walaupun pesakit dirawat di hospital disebabkan oleh faktor risiko kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang yang kronik," jelas beliau.

Beliau bagaimanapun meminta maaf di atas kesulitan yang dialami pesakit serta berterima kasih kepada pengadu kerana membangkitkan perkara itu demi meningkatkan prestasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Hospital Putrajaya.

Dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini, seorang anak yang menamakan dirinya Siti Harayani mendakwa doktor gagal mengesan ibunya mengalami strok selepas tempoh 24 jam.

Dakwanya, doktor yang datang merawat setiap hari tidak mengetahui ibunya diserang strok kerana bertanyakan kepadanya sejak bila ibunya mengalami penyakit itu.

Pengadu kemudiannya mengambil keputusan memindahkan ibunya ke hospital swasta kerana beranggapan nasib pemegang jawatan tinggi dalam Wanita UMNO itu tidak terbela di hospital kerajaan.

No comments:

Post a Comment