Thursday, November 11, 2010

Curi Wang Tabung Masjid


Pemuda curi wang masjid diberkas


Osman Muhammad Sebot (tengah) menunjukkan dawai lembut dengan hujungnya diletakkan gam digunakan suspek untuk memancing wang kertas dari peti tabung derma Masjid Al Muttaqin pada sidang akhbar di Kota Tinggi, semalam.

KOTA TINGGI 10 Nov. - Seorang pemuda yang ditahan penduduk kerana mencuri wang kutipan tabung sebuah masjid di Tanjung Sedili dekat sini, Sabtu lalu, mengaku berbuat demikian untuk membeli susu anak.

Suspek berusia 38 tahun, melakukan perbuatan terkutuk itu dengan 'memancing' wang dari dalam tabung berkenaan menggunakan besi halus yang dilekatkan gam.

Perbuatan suspek terbongkar apabila seorang ahli kariah masjid melihat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan semasa hendak pulang selepas menunaikan solat zuhur pada pukul 2.50 petang.

Menurut Ketua Polis Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot, saksi kemudian menghubungi pembantu bilal yang kebetulan dalam perjalanan ke Tanjung Sedili.

Katanya, mereka meminta bantuan tiga rakannya yang merupakan ahli jawatankuasa masjid itu dan menunggu suspek di laluan antara Kampung Sedili Besar ke Tanjung Sedili.

"Semasa melihatnya dan meminta berhenti, suspek yang menunggang motosikal terus memecut laju.

"Ahli jawatankuasa masjid itu mengejar suspek sejauh lima kilometer sebelum memintasnya di Kampung Singapura," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui satu dawai lembut halus sepanjang hampir satu meter, satu tin gam dan wang tunai RM395.

Katanya, suspek mendakwa wang tunai RM280 adalah miliknya untuk membayar hutang dan bakinya adalah milik tabung masjid berkenaan.

Tambahnya, suspek berasal dari Felda Aping Barat di sini, mendakwa melakukan perbuatan tersebut untuk membeli susu anaknya.

"Pemeriksaan mendapati dia tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya negatif dadah," ujar beliau.

Osman berkata, suspek direman sehingga hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

No comments:

Post a Comment