Thursday, November 4, 2010

Syarikat Sosilawati DiSaman

Syarikat Sosilawati disaman

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 3 Nov. – Kira-kira tiga minggu sebelum kematian Datuk Sosilawati Lawiya, dua ahli perniagaan telah memfailkan saman terhadap syarikat milik jutawan kosmetik itu atas dakwaan melanggar kontrak jual beli hartanah bernilai RM3 juta.

Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 5 Ogos lalu melalui firma guaman, Tetuan Thean & Co. di Mahkamah Tinggi di sini dan hanya diperoleh oleh pihak media hari ini.

Pihak plaintif menamakan Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (NVC) yang mempunyai alamat berdaftar di Plaza Pengkalan, Jalan Tiong off Jalan Ipoh dan alamat perniagaan di Lorong Haji Hussein 1, Jalan Raja Bot di sini selaku defendan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendaftar Hilmiah Yusof menetapkan 1 Disember ini untuk mendengar permohonan plaintif mendapatkan penghakiman ingkar ekoran tiada pernyataan pembelaan difailkan oleh NVC dalam tempoh yang ditetapkan.

Kedua-dua ahli perniagaan itu diwakili peguam S.H. Tang manakala tiada peguam hadir bagi pihak defendan.

Sosilawati, 47, mati dibunuh pada 30 Ogos lalu bersama pemandunya, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38, di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, Selangor.

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, NVC dalam surat tawaran bertarikh 2 April lalu, telah bersetuju menjual hartanah yang terletak di Pusat Perdagangan Kota Damansara, Kota Damansara PJU 5, Petaling Jaya kepada mereka dengan harga RM3 juta.

Hartanah tersebut merupakan sebidang tanah berkeluasan 144.9 meter persegi yang mempunyai sebuah bangunan empat tingkat di atasnya.

Pihak plaintif juga mendakwa telah berjaya memperolehi pembiayaan bagi membeli hartanah terbabit.

Beberapa terma dan syarat penting jual beli hartanah tersebut yang terkandung dalam surat tawaran itu juga telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan dimuktamadkan pada 22 April lalu.

Antara terma dan syarat itu adalah Choong Yen dan Bee Geok perlu membayar wang pendahuluan RM60,000 ketika surat tawaran itu ditandatangani dan baki deposit sebanyak RM240,000 sewaktu Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani.

Baki belian RM2.7 juta perlu dibayar oleh pihak plaintif dalam tempoh 90 hari dari tarikh SPA ditandatangani.

Plaintif mendakwa telah membayar wang pendahuluan dan cek bernilai RM240,000 juga telah diserahkan kepada peguam defendan pada 27 April lalu.

Bagaimanapun kira-kira sebulan selepas surat tawaran ditandatangani, NVC melalui surat peguamnya bertarikh 30 April lalu didakwa telah memaklumkan bahawa syarikat itu enggan meneruskan penjualan hartanah tersebut.

Menurut plaintif, pembatalan itu dibuat oleh defendan dengan alasan terpaksa menunggu antara enam hingga 12 bulan bagi mendapatkan kebenaran untuk pindah milik kepada bukan bumiputera serta menyempurnakan transaksi.

Plaintif melalui surat peguam bertarikh 3 Mei lalu pula menegaskan defendan telah terikat kepada terma-terma dan syarat-syarat yang terkandung dalam SPA memandangkan dokumen terbabit telah ditandatangani dan dimuktamadkan.

NVC membalas surat tersebut dengan menafikan tanggungjawabnya terhadap syarat-syarat dan terma-terma SPA dengan alasan surat tawaran itu ditandatangani plaintif dengan bersaksikan seorang ejen bernama Jasmine tanpa sebarang penjelasan penuh mengenai sebab dan akibat.

Syarikat itu melalui surat bertarikh 25 Mei lalu turut memulangkan SPA, Suratcara Pindahmilik, Borang Permohonan untuk Kebenaran Pindahmilik yang telah ditandatangani plaintif beserta cek bernilai RM240,000.

Dakwa plaintif, wang pendahuluan RM60,000 masih belum dibayar oleh defendan sehingga hari ini walaupun surat peguam defendan bertarikh 25 Mei lalu berjanji akan memulangkan semula wang tersebut.

Ujar plaintif lagi, keengganan defendan untuk meneruskan urusan jual beli tersebut telah menyebabkan mereka kehilangan faedah daripada hartanah itu.

Oleh yang demikian, Choong Yen dan Bee Geok menuntut perisytiharan bahawa terdapat satu perjanjian yang sah dan mengikat kedua-dua pihak untuk menjual dan membeli hartanah berkenaan.

No comments:

Post a Comment