Tuesday, November 23, 2010

Kisah Duka

Kisah sedih anak mengenai ibunya di hospital...

SAYA mencoretkan surat ini kerana teringatkan emak yang sedang sakit di hospital Putrajaya dan ditemani seorang adik (seorang pekerja kerajaan) yang bercuti hujung minggu.

Hati ini gusar mengenangkan emak yang sudah dua minggu terlantar di sana.

Dia dimasukkan ke hospital pada pukul 3 pagi, 6 November lepas kerana mengalami bengkak dari pinggang hingga hujung kaki ditambah lagi dengan masalah sesak nafas.

Seminggu di sana, tidak banyak perubahan yang berlaku cuma bengkak dari pinggang ke lutut sudah surut tetapi dari lutut hingga ke bahagian bawah masih lagi bengkak.

Tiub saluran kencing dimasukkan untuk memantau keluar masuk air di dalam badan emak saya. Emak tidak kuat untuk bangun kerana kakinya masih bengkak.

Masuk dua minggu, keadaan emak masih sama tetapi dia kelihatan gembira lantaran ramai datang menjenguk bertanyakan khabar termasuk adik-beradik, sahabat-handai, AJK tertinggi sebuah parti politik merangkap bos.

Hari Khamis lalu saya ke sana seperti biasa, emak ceria sahaja nampaknya. Bertanyakan jajan buatnya tetapi tiada saya bawakan, pesan saya makan sahaja apa yang disediakan oleh pihak hospital takut jajan yang dibawa itu nanti memudaratkan.

Emak sedikit merajuk tetapi dalam masa yang sama menghabiskan juadah makan malam yang disediakan. Sebelum waktu melawat habis emak berpesan kepada saya untuk membawakan syampu dan sabun esok, memintakan saya untuk memandikannya kerana dua minggu terlantar emak tidak mampu untuk pergi ke bilik air.

Pada pendapat saya keadaannya sudah beransur pulih kerana sudah mampu untuk bangkit ke tandas.

Pada keesokan harinya (Jumaat (9/11/10) waktu tengah hari, saya kembali ke hospital (emak tidak mahu mandi pagi-pagi, sejuk katanya).

Sambil menjinjing syampu dan sabun mandi saya terus menuju ke katil emak. Emak sedang tidur pada firasat saya, matanya tertutup rapat, mungkin emak penat kerana doktor dan jururawat baru selesai melakukan pemeriksaan.

Tiba-tiba, tidak sampai beberapa minit kemudian emak membuka matanya, emak menyatakan sesuatu yang saya tidak faham atau mungkin tidak dengar.

Mengucap dua kalimah syahadah saya dibuatnya, rupanya emak saya diserang strok!

Saya hampir menangis tetapi saya tahankan kerana tidak mahu emak semakin sedih. Emak meminta maaf kerana padanya dia menyusahkan sahaja (padahal sampai mati pun jasanya takkan pernah terbalas oleh saya).

Makan pun emak tak mampu lantaran separuh badannya sudah lumpuh. Saya suapkan bubur buat emak, mak lapar katanya.

Keesokan paginya adik saya memberitahu sesuatu yang sangat mengejutkan!

Doktor yang datang merawat emak saya saban hari tidak mengetahui yang emak saya diserang strok!

Sudahlah 24 jam terlantar kesakitan tambah menyakitkan lagi apabila doktor yang datang bertanyakan sejak bila emak berkeadaan sedemikian padahal mereka yang bekerja di sana untuk memantau kondisi pesakit, masakan tiada seorang pun tahu apa yang berlaku pada emak saya.

Saya terkilan, sangat terkilan dengan doktor dan jururawat yang bertugas.

Ini menguatkan lagi skeptikal masyarakat tentang kekurangan mutu khidmat hospital kerajaan. Saya bukan berat sebelah kerana saya juga penyokong kerajaan, menikmati segala kemudahan yang disediakan, alhamdulillah syukur ucap saya.

Bukan menidakkan usaha kerajaan untuk memperkasakan hospital mereka tetapi bagi saya nyawa emak lebih penting.

Setelah berbincang dengan ayah dan abang yang sentiasa risau dengan keadaan emak, pagi ini kami nekad untuk memindahkan emak ke hospital swasta.

Kami bukan daripada golongan berada cuma tahap biasa sahaja, sekadar cukup makan cukup pakai, tetapi duit kami boleh cari, emak hanya ada satu!

Untuk pengetahuan semua emak saya memiliki 'tiket emas' untuk memasuki hospital kerana bapa seorang pesara kerajaan, sampai waktu ini emak saya masih antara pemegang jawatan tertinggi dalam Wanita UMNO, penggerak jentera parti yang sanggup berkorban apa sahaja untuk parti itu, kami sudah terbiasa ditinggalkan lantaran emak amat aktif melengkapkan wadah perjuangan politik beliau.

Tetapi pada saat ini kami dalam perjalanan untuk memindahkan emak ke hospital bukan kerajaan kerana pada pendapat saya nasib emak tidak terbela di sana.

Sungguh ironik bukan?

SITI HARAYANI

creepy_orchid84@yahoo.com

No comments:

Post a Comment