Saturday, November 20, 2010

Gadis Misi


Jururawat perlu pengorbanan tinggi


Norizan Sabdin menolak tanggapan kerjaya sebagai jururawat membosankan.

KUANTAN 19 Nov. - Tidak semua golongan terutama belia masa kini berminat menceburi bidang kejururawatan apatah lagi terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi mencemaskan terutama apabila melibatkan nyawa.

Kerjaya sebagai jururawat memerlukan pengorbanan tinggi selain kesabaran menghadapi pelbagai ragam serta kerenah pesakit yang merupakan cabaran perlu ditangani.

Tetapi itu semua tidak menjadi halangan buat Gadis Pahang minggu ini, Norizan Sabdin, 22, yang memilih kerjaya tersebut serta mempunyai alasan tersendiri mengapa ia menjadi pilihannya.

Menurut gadis manis yang mesra dipanggil Yan ini, sejak kecil lagi dia berminat menceburi bidang tersebut yang dianggap sebagai satu pekerjaan mulia untuk berbakti kepada masyarakat.

"Siapa yang sanggup bergelumang dengan darah dan nanah setiap hari malah terpaksa membersihkan najis serta luka pesakit yang ada antaranya telah reput dan berbau busuk. Mereka yang bergelar jururawat saja rela mengetepikan semua itu.

"Situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangat saya menjadi jururawat malah lebih bersemangat membantu pesakit sehingga mereka benar-benar sembuh," kata pelajar Kolej Kejururawatan dan Sains Pantai di Subang Jaya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Norizan sepanjang menjalani kursus kejururawatan di kolej tersebut apabila pertama kali menguruskan mayat seorang pesakit buah pinggang.

"Walaupun takut dan cemas, sebagai seorang pelajar, kami telah dilatih supaya sentiasa tenang dan bersedia menghadapi pelbagai situasi yang mencabar," katanya.

Dia juga menolak persepsi sesetengah masyarakat yang mengatakan bidang kejururawatan itu merupakan satu pekerjaan yang membosankan.

"Hakikatnya, bidang tersebut amat menyeronokkan kerana sentiasa mempelajari sesuatu perkara baru serta akan menempuh pelbagai pengalaman suka dan duka," ujarnya yang sentiasa tersenyum.

No comments:

Post a Comment