Monday, November 15, 2010

Jangan Cepat Buka Pintu

Budak 5 tahun bantu ayah ditendang penyerang


SETIU: “Mereka menetak dan memukul saya seolah-olah saya berada di kawasan kongsi gelap. Betapa tidak, saya diserang dalam rumah sendiri manakala anak bongsu saya yang berusia lima tahun ditendang ketika cuba membantu.

“Mereka tidak berperikemanusiaan...mujur isteri sempat meminta tolong melalui pintu belakang selepas memukul kumpulan empat lelaki bersenjatakan tiga pedang dan kayu itu dengan penyapu menyebabkan mereka melarikan diri,” kata Rozimi Ludin@Arifin, 38, yang patah kaki kanan dan tangan selain parah di sebahagian besar badan.


Mangsa diperlakukan seperti haiwan peliharaan akibat dilibas dengan pedang samurai dan kayu oleh tiga lelaki tidak dikenali kira-kira jam 9.30 malam 4 November lalu dan lebih menyedihkan ia dilakukan di depan ahli keluarganya di Sungai Tong, dekat sini.

Menurutnya, ketika kejadian, empat anak dan isterinya menonton televisyen bersama sebelum terdengar suara orang memberi salam menyebabkan anaknya yang berusia 11 tahun membuka pintu.


Sebaik menjawab salam dan membuka pintu, Rozimi berkata, seorang lelaki memberitahu ingin berjumpa sambil menarik tangannya keluar dari rumah, namun selepas merasakan sesuatu tidak kena, dia menarik semula tangan sebelum tiga lelaki yang bersembunyi di tepi rumah menyerbu masuk.


Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Pengarah Urusan Imza Construction Sdn Bhd, Mohd Azmi Mohd Noor, pengendali projek pembinaan masjid Sungai Tong yang ingin mendapatkan gambaran sebenar selepas kejadian itu dikatakan mempunyai kaitan dengan urusan projek di situ.


Bagaimanapun, Mohd Azmi lega selepas mangsa memberitahu kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankan syarikatnya.

No comments:

Post a Comment