Monday, November 15, 2010

Jangan Hon

Tiga pekerja kontrak dibelasah selepas bunyi hon


2010/11/15

KUALA LUMPUR: Gara-gara membunyikan hon kerana laluannya dihalang dua kereta mewah dinaiki 10 lelaki, tiga pekerja kontrak cedera termasuk dua parah selepas diserang kumpulan itu menggunakan pisau lipat dan batang kayu di Setapak di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 5.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Danau Kota, Jalan Genting Klang, ketika ketiga-tiga mangsa, dua berusia 25 tahun dan seorang 48 tahun yang menaiki sebuah lori melihat dua kereta berhenti di tengah jalan dengan pemandu dan penumpang dipercayai mabuk.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa kemudian menegur dan membunyikan hon ke arah suspek yang menaiki BMW dan Toyota Alphard kerana menghalang laluannya.
Katanya, apabila lori itu berhenti di persimpangan lampu isyarat Danau Kota, 10 suspek termasuk dua bersenjatakan pisau lipat dan batang kayu keluar dari kereta berkenaan dan menyerang mangsa.

“Berikutan itu, seorang mangsa cedera di kepala, seorang cedera jari kelingking dan paha kiri serta seorang lagi calar di badan.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di klinik berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut dengan dua yang parah ditempatkan di wad separa kritikal manakala seorang lagi diberikan rawatan pesakit luar,” katanya di sini, semalam.

Zakaria berkata, susulan kejadian itu, polis menjalankan gerakan bagi mengesan semua 10 suspek terbabit dipercayai berusia 20-an.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment