Friday, November 5, 2010

Sosej babi

Murid bawa makanan tidak halal dirotan disiasat

KUCHING 4 Nov. - Jabatan Pelajaran negeri akan meneliti kes membabitkan seorang pelajar tahun empat di sebuah sekolah di sini yang mendakwa dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya kerana membawa bekal nasi goreng berlaukkan sosej babi, baru-baru ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak sekolah berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk mendengar alasan kedua-dua pihak terbabit terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian.

''Setelah kita mendengar perkara sebenar yang berlaku, baru kita dapat menilai perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang semalam.

Semalam, Angela Jabing membuat aduan bersama sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mendakwa bahawa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sekolah kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Angela berkata, pada 15 Oktober lalu, dia menyediakan nasi goreng beserta sosej babi sebagai bekal makanan kepada anaknya ketika waktu rehat sebelum dikejutkan dengan berita bahawa anaknya itu telah dipukul serta dirotan sebanyak 10 kali kerana membawa makanan tersebut.

Tambahnya, anaknya kini takut untuk pergi ke sekolah akibat kejadian itu.

Sementara itu, sumber Jabatan Pelajaran negeri ketika dihubungi hari ini memberitahu, kes murid berkenaan sedang disiasat dan satu laporan lengkap akan disediakan dalam masa terdekat.

Katanya, kes tersebut perlu disiasat dengan teliti bagi memastikan kebenaran dakwaan murid itu.

Tambahnya, murid-murid dibenarkan untuk membawa bekal ke sekolah walaupun mengandungi bahan haram kecuali pihak kantin dilarang daripada menjual makanan tidak halal di sekolah.

No comments:

Post a Comment