Monday, November 15, 2010

Kisah

Rumah diduduki 56 tahun diroboh tanpa pampasan

RUMAH bapa saya yang beralamat di No.1801, Lorong Tiong, Jalan Teluk Wanjah, Alor Setar, Kedah telah diroboh pada 23/06/2010 oleh Majlis Perbandaran Kota Setar yang diarah oleh Jabatan Tanah Kota Setar, tanpa membayar sebarang pampasan kepada bapa saya.

Bapa saya Chan Foo Teik, telah meduduki rumah di tanah kereta api selama 56 tahun (1954-2010). Beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya untuk membayar cukai-cukai kerajaan. Selama 56 tahun ini, bapa saya telah membayar sewa tanah kepada KTM dan cukai pintu kepada MBAS (A/C No. 9277). Malah kami masih menyimpan resit-resit pembayaran sewa tanah dan sewa cukai pintu sebagai bukti yang sah.

Nama bapa saya tidak ada di dalam senarai bancian semasa pemeriksaan bancian dijalankan. Bapa saya ingin mengetahui adakah rumah di tanah KTM yang membayar sewa tanah dan mempunyai cukai pintu yang sah dipanggil sebagai rumah haram? Jikalau begitu apakah maknanya seluruh rakyat Malaysia membayar cukai kerajaan?

Mengapa rumah bapa saya boleh diroboh begitu saja tanpa menerima apa-apa pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab? Adakah itu adil bagi bapa saya yang telah membayar cukai kerajaan?

Bapa saya juga ingin mengetahui pihak manakah yang patut bertanggungjawab terhadap aduan kami? Kami sudah menghantar banyak aduan mengenai masalah ini kepada pihak yang berkenaan (Kementerian Pengangkutan Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad, MMC-Gamuda Joint Venture) tetapi malangnya tidak ada apa-apa tindakan diambil oleh pihak berkenaan. Apakah tindakan yang harus kami lakukan tentang perobohan rumah kami?

Kerajaan pernah membuat pengumuman di Parlimen bahawa kerajaan akan menjalankan Projek Kerajaan-PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) untuk menolong rakyat termiskin di Malaysia. Tidakkah bapa saya ini patut diberi pampasan sewajarnya ataupun sekurang-kurang beliau patut diberikan rumah PPRT?

Diharap pihak berkenaan dapat memberi perhatian mengenai masalah ini.

CHAN KONG CHOON

Lumut, Perak

No comments:

Post a Comment