Wednesday, November 3, 2010

Maknyah

Mak nyah tak rela disebat
Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: “Tolong, saya tak sanggup disebat, biarlah dijatuhkan hukuman penjara lebih lama, tetapi saya tidak sanggup disebat,” kata seorang lelaki berperwatakan wanita dikenali sebagai Kak Dahlia selepas dijatuhkan hukuman enam sebatan dan 10 tahun penjara di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Kak Dahlia atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Jaafar, 29, yang juga seorang mak andam dijatuhi hukuman itu selepas didapati bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan hingga mengakibatkan kecacatan kekal selain mengurung teman lelakinya lebih setahun sejak Jun 2008.


Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz, menjatuhkan hukuman berkenaan selepas pihak pendakwa raya yang diketuai Timbalan Pendakwaraya Safiah Abdul Aziz, berjaya menimbulkan kes melampui keraguan munasabah di akhir pembelaan, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. Mengikut fakta kes, mangsa, Mohd Redzuan Mohd Rasyid, 20, ketika kejadian, adalah teman lelaki tertuduh dan mereka tinggal bersama di kediaman tertuduh di sebuah pangsapuri di Taman Soga, di sini.

Difahamkan, tertuduh meminta Mohd Redzuan supaya berhenti kerja dan hanya menguruskan rumah manakala dia menanggung segala perbelanjaan.


Namun, sejak Jun 2008 hingga 10 September 2009, Redzuan dikatakan sering dipukul menggunakan kayu apabila berlaku pertengkaran kerana lewat membersihkan rumah menyebabkan mangsa cedera di dahi, lebam di bawah mata kiri dan kanan serta bibir.


Selain itu, mangsa dikurung di dalam rumah berkenaan dan tidak boleh keluar kerana tertuduh mengunci pintu dan merantai jeriji selain memasang mangga bagi mengelak mangsa lari.


Disebabkan tidak mendapat rawatan ketika kecederaan, doktor yang memeriksa mangsa mengesahkan lelaki berkenaan cacat kekal dan lebam.


Pertengkaran terakhir dua lelaki itu berlaku pada malam 10 September 2009 apabila tertuduh dikatakan memukul mangsa menggunakan kayu beluti menyebabkan kaki kiri Redzuan retak.


Tidak mahu meneruskan hubungan mereka, tertuduh menghantar Redzuan ke rumah pak cik mangsa di sekitar daerah berkenaan sebelum mangsa membuat laporan polis keesokan harinya.


Sepasukan polis menahan tertuduh di kediamannya pada 12 September 2009 sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes.


Tertuduh dibicarakan tiga kali bermula 16 Ogos lalu dan enam saksi pendakwaan termasuk Redzuan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk doktor yang memberikan rawatan kepada mangsa.


Hafiz dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.


Selain itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung orang dengan salah dan jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara hingga tiga tahun dan denda.


Mohamad Haldar menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi kesalahan pertama serta penjara dua tahun bagi kesalahan kedua.

No comments:

Post a Comment