Keluhan seorang remaja 12 tahun
Untung Sabut Timbul
Baru-baru ini saya berbual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. Dia menyatakan kebosanannya berada di rumah sepanjang cuti sekolah.
Menurutnya kawan-kawan yang sebaya dengannya juga menyatakan perkara yang sama. Mereka tidak dapat bertemu semasa cuti sekolah kerana rumah jauh di antara satu sama lain. Jika mahu bertandang sudah tentu memerlukan ibu bapa mereka yang menghantar.
Untuk pergi sendiri tentulah ibu bapa melarang kerana kata mereka "sekarang kat luar tu bahaya bagi budak-budak perempuan, banyak orang jahat.''
Jadi saya bertanya, apa yang dia ingin lakukan masa cuti sekolah. Adakah dia mahu bercuti ke tempat-tempat lain.
Sudah tentu, katanya. Tapi dia faham bahawa kemampuan ibu bapanya untuk membawanya berjalan adalah terhad. Bukan saja dari segi kemampuan kewangan tetapi dari segi mendapat cuti daripada majikan mereka.
Kalau dapat berjalan baguslah, katanya. Dekat-dekat pun tidak mengapa. Tapi apa yang amat diinginkan untuk dilakukan masa cuti ialah membaca buku cerita.
"Membaca buku cerita?" Saya terkejut. Kenapa buku cerita? Tidakkah di rumah sudah ada komputer, laptop, notebook, smartphone dan televisyen yang memiliki saluran untuk kanak-kanak dan remaja? Tidakkah alat-alat teknologi ini jauh lebih menarik untuk kanak-kanak menggunakannya daripada buku cerita?
Tidak, katanya. Dia dan kawan-kawannya walaupun memiliki alat-alat itu di rumah dan sering menggunakannya, tetapi ia cepat menjemukan. Menurutnyalah. Buku cerita lebih menarik.
Ini berita menarik bagi saya. Walaupun dia aktif dalam facebook tapi baginya buku cerita tetap minat paling utama.
Kalau begitu mudah saja. Belilah buku-buku cerita, kata saya. Itu masalahnya, kata dia.
Kedai buku tak banyak. Yang ada jauh-jauh belaka, Untuk pergi ke sana, perlulah ibu bapa mereka yang membawanya. Di kedai buku yang kecil pula, hanya banyak buku ulang kaji sekolah. Untuk pergi ke kedai buku besar, tentulah di pusat-pusat membeli-belah yang jauh-jauh.
Tambahan pula, buku cerita pun bukanlah murah. Ibu bapa hanya dapat membelikan buku-buku cerita sekali sekala. Buku itu dalam masa dua tiga hari habis dibacanya.
Kawan-kawannya yang dari keluarga lebih susah ingin meminjam buku-buku ceritanya. Dia sayang buku-bukunya kerana takut tidak dikembalikan.
Katanya, apabila beri pinjam pada kawan selalunya pasti tidak dikembalikan. Dia bercadang hendak fotostat buku cerita itu dan beri pada kawannya. Tetapi dia kata mahal juga untuk fotostat.
Meminjam
Saya mencadangkan padanya dan kawan-kawan dia, pergilah ke perpustakaan dan meminjam buku.
Katanya, perpustakaan jauh. Untuk ke situ ia perlukan ibu bapa menghantarnya. Lagipun katanya, perpustakaan hanya ada buku cerita lama. Buku-buku baru tidak ada.
Lagipun meminjam buku dari perpustakaan selalu kena denda. Ini kerana untuk ke situ, dia terpaksa bergantung pada ibu bapanya menghantar. Walaupun buku yang dipinjam sudah habis dibaca tetapi bila tidak ada sesiapa menghantarnya, buku itu jadi lewat. Maka kena dendalah. Akhirnya ibu bapanya melarang meminjam buku dari perpustakaan.
Dia juga kata alangkah baik jika sekolah-sekolah ada perpustakaan dan dibuka pada masa cuti sekolah. Ini kerana sekolah tidak jauh dari rumah, berbanding dengan perpustakaan awam.
Saya kata padanya, tidakkah sekolah-sekolah ada perpustakaan? Katanya di sekolah perpustakaan dinamakan pusat sumber. Di dalamnya buku sudah tidak banyak. Yang ada ialah komputer.
Buku-buku yang ada pun buku lama. Buku cerita tidak banyak. Yang ada pun sedikit. Itupun dia dan kawan-kawannya berebut hendak meminjam hingga buku-buku cerita itu menjadi lusuh.
Semasa sekolah pun, tidak ada peluang sangat untuk pergi ke perpustakaan. Waktu rehat pendek. Waktu lepas sekolah dia perlu pergi ke sekolah agama. Pada hari Sabtu pula ada aktiviti kokurikulum.
Lagipun, katanya perpustakaan sekolah jarang-jarang dibuka dan guru-guru tidak begitu menggalakkan murid-murid membaca buku atau menggunakan perpustakaan.
Semasa menjelang cuti sekolah selepas peperiksaan dan tidak ada aktiviti hendak dilakukan, guru-guru hanya menggalakkan murid-murid menghabiskan masa dengan permainan seperti catur dan sebagainya.
Dia bertanya saya mengapa sekolah tidak mampu membeli buku-buku cerita untuk murid-murid sekolah.
Sekolah menghabiskan beribu-ribu ringgit beli komputer yang dikurung dalam sangkar besi kerana takut dicuri tetapi tidak mampu membeli buku cerita yang harganya jauh lebih murah, tanya dia.
Komputer-komputer di sekolah pun jarang digunakan, selalu rosak. Yang ada pun menjadi rebutan. Tetapi katanya dia tidak boleh membaca buku cerita dari komputer. Budak-budak hanya menggunakan komputer untuk bermain game. Memang komputer berguna untuk mendapatkan maklumat tetapi tidak ada buku cerita di dalamnya.
Akhirnya budak-budak hanya menggunakan komputer untuk menonton YouTube, tulis di facebook dan hantar e-mel, katanya.
Dia menceritakan lagi bagaimana semasa guru-guru mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dahulu. Guru-guru dibekalkan dengan alat-alat teknologi. Dari laptop hinggalah kepada paparan skrin yang disambung pada projektor dari komputer.
Menurutnya, seringkali alat-alat itu rosak dan memakan masa waktu belajar. Kini banyak alat-alat itu tersadai.
Kalaulah duit yang banyak itu digunakan untuk beli buku-buku cerita bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, katanya, alangkah baik.
No comments:
Post a Comment