Saturday, November 20, 2010

Lupa Jalan Pulang

Isteri bimbang suami tidak pulang

KULIM 19 Nov. - Tatkala umat Islam bergembira menyambut Hari Raya Aidiladha Selasa lalu, seorang isteri di Taman Selasih di sini dilanda kebimbangan apabila suaminya tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk ke masjid yang terletak 500 meter dari rumahnya.

Menurut Che Soom Husin, 48, suaminya Rasul Ali, 57, keluar dari rumah untuk ke masjid kira-kira pukul 1.30 petang dengan menunggang sebuah motosikal Honda Wave berwarna biru dan hanya berkain pelikat serta berbaju kemeja.

Namun katanya, selepas dua jam, suaminya yang juga merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pulang sebelum dia mengarahkan anaknya, Mohd. Adnan mencari bapanya di masjid itu.

"Adnan yang gagal menemui bapanya di masjid kemudian cuba mencari Rasul atau lebih dikenali sebagai Hassan di kalangan jiran-jiran di beberapa tempat yang selalu dikunjunginya.

"Sebelum ini pernah beberapa kali dia lupa jalan balik ke rumah selepas ke pasar malam namun tak pernah hilang lama seperti ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya hari ini.

Tambah Che Soom, suaminya pernah mengalami kemalangan teruk sebanyak dua kali iaitu pada 2007 menyebabkan patah sembilan tulang rusuk dan dua tulang selangka serta kali kedua pada 2008.

Ujarnya, dalam kemalangan 2008, Rasul cedera di kepala menyebabkan dia terlantar selama dua hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Pantai Sungai Petani.

"Sejak itu dia mengalami masalah ingatan dan masih bergantung pada ubat penenang yang perlu dimakan dua kali sehari.

"Malah pada 28 November ini, dia sepatutnya ke hospital sekali lagi untuk imbasan otak," ujarnya yang telah membuat laporan polis tentang kehilangan Rasul di Balai Polis Kulim.

Sementara itu, anaknya, Firdaus berkata, dia telah mencari bapanya di merata-rata tempat termasuk Hospital Kulim, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam namun gagal.

Jelasnya, dia bimbang dengan keselamatan bapanya dan berharap orang ramai dapat membantu mengesan Rasul kerana dia juga tidak membawa kad pengenalan serta wang.

"Saya harap orang ramai yang ada maklumat mengenainya dapat menghubungi kami di talian 04-4910918 atau 012-5425360, 012-4465824 dan 012-7710695," katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Supritendan Chin Su Song ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan Rasul.

"Pihak polis sedang berusaha mengesan Rasul di daerah Kulim dan sekitarnya. Saya harap orang awam yang menemui Rasul menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Kulim di talian 04-4916999," katanya.

No comments:

Post a Comment