Friday, November 19, 2010

Gantung

Wanita Thailand dihukum gantung

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Sudahlah terpaksa menelan 98 kapsul dadah jenis kokain dan menanggung sengsara untuk mengeluarkannya pula menerusi pembuangan air besar selama enam hari berturut-turut, kesudahannya nyawa seorang wanita warga Thailand akan berakhir di tali gantung.

Itulah yang terpaksa dihadapi oleh Phrueksa Taemchim, 26, apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar kokain seberat 713.8 gram tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menjatuhkan hukuman itu terhadap Phrueksa selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.

Phrueksa, yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan restoran di Thailand, didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Puduraya di sini pada 8.30 pagi 3 Julai 2009.

Mahkamah diberitahu bahawa seorang pegawai kanan polis menahan tertuduh di stesen bas Puduraya tetapi setelah diperiksa, tiada barang salah yang ditemui padanya.

Phrueksa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan X-ray mendapati ada beberapa "barang asing" dalam tubuhnya.

Semasa ditahan di wad hospital dari 3 hingga 8 Julai tahun lepas, tertuduh mengeluarkan ketulan-ketulan berbentuk kapsul kira-kira lima sentimeter panjang yang berisi bahan disyaki dadah berbahaya semasa dia membuang air besar.

Jumlah keseluruhan ketulan yang dikeluarkan dari dalam badan tertuduh adalah sebanyak 98 ketulan dan pemeriksaan lanjut menunjukkan ketulan-ketulan itu mengandungi kokain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Phrueksa diwakili peguam K. Viknes. - BERNAMA

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment