Friday, November 26, 2010

Kes Sosilawati

Pekerja ladang dakwa dipaksa buat pengakuan


SHAH ALAM: Seorang pekerja ladang yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain memfailkan notis usul bagi mengemukakan bukti baru berhubung dakwaan berlaku paksaan terhadapnya supaya dia mengaku salah atas pertuduhan itu.

K Sarawanan, 19, yang memfailkan notis usul itu Rabu lalu melalui peguam, AS Dhaliwal, memohon mahkamah memanggil dan memeriksa rekod prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di sini, bagi tujuan memastikan kebenaran, kesahan dan ketepatan apa-apa dapatan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan dan juga atas kepatuhan arahan prosiding dalam kes itu.


Dia juga memohon mahkamah meminda dan membetulkan fakta yang dikemukakan sebelum ini kerana fakta yang tidak benar menyebabkan dia menjadi pihak yang terkilan dan tidak mendapat keadilan.

Dalam notis usul itu, Sarawanan antara lain mendakwa dia diperdaya dan didorong untuk membuat pengakuan bersalah tanpa kerelaannya. Sarawanan juga mendakwa dia disepak di kemaluannya menyebabkan dia mereka cerita dan berbohong yang dia sudah melakukan kesalahan, semata-mata untuk melepaskan diri daripada didera polis. Selain itu, Sarawanan mendakwa ketika direman, dia diberi akujanji oleh seorang detektif dengan dia akan dilepas dan dibebaskan jika memilih peguam polis iaitu Roslie dari Tetuan Sulle & Co serta dia mendakwa dipaksa menandatangani satu borang yang tidak diketahui isi kandungnya. Sementara itu dalam prosiding semalam, peguam, Amer Hamzah Arshad yang bertindak sebagai peguam pemerhati tertuduh utama pembunuhan itu, N Pathmanathan, turut memberitahu, pihaknya sudah memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi mencelah dan berhujah dalam pendengaran semakan dan rayuan oleh Sarawanan.


Amer Hamzah berkata, antara sebab permohonan itu dikemukakan kerana anak guamnya dan tiga lagi tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih belum dibicarakan.


Hakim Datuk Wira Mohtarudin menangguhkan prosiding semakan kehakiman dan rayuan Sarawanan kepada 10 Januari depan bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan membalas afidavit yang difailkan Sarawanan serta mendengar permohonan peguam pemerhati.

No comments:

Post a Comment