Tuesday, November 9, 2010

Sayang Binatang


Didik anak sayangi haiwan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

PESERTA turut diajar dengan kemahiran menjinakkan burung.

IPOH 8 Nov. - Mendidik kanak-kanak dan remaja untuk menyayangi haiwan bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak hanya diselubungi perasaan takut, terdapat juga segelintir daripada mereka yang berasa jijik serta enggan mengotori diri meskipun hanya menyentuh haiwan-haiwan jinak.

Namun, bagi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Chia Kok Wai, 15, dia bukan sahaja berasa selesa malah tidak gentar untuk menyentuh haiwan yang dianggap berbahaya.

Kok Wai yang mengikuti program Junior Ranger di Lost World of Tambun mengakui dirinya sudah mula berani menyentuh ular Burma jinak yang terdapat di Petting Zoo di situ.

"Saya menyertai program ini sejak April lalu selepas ia dibuka kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia daripada enam hingga 16 tahun.

"Saya akan ke sini untuk belajar menjaga haiwan terutama ular yang menjadi kegemaran saya setiap dua minggu sekali iaitu pada hujung minggu dan cuti sekolah," katanya.

Kok Wai berjaya mendapatkan lima lencana setelah menduduki ujian Junior Ranger yang membolehkan dia bertindak sebagai duta kecil di Petting Zoo, Lost World of Tambun.

Selain berjaya mendapatkan lencana untuk haiwan Serpentarium (ular), dia juga memiliki lencana Rabbit Wonderland (arnab), Tortoise Kingdom (kura-kura), Rubby and Friends (rakun), dan Felidae Family (kucing Bengal dan harimau Siberia).

Menjadi Junior Ranger yang terlatih bermakna dia juga berkesempatan memberi penerangan mengenai haiwan jagaannya kepada pengunjung-pengunjung yang melawat Petting Zoo.

Kok Wai berkata, perkara utama yang perlu difahami apabila ingin memegang haiwan berbahaya seperti ular adalah mempelajari sifat-sifat semulajadinya.

Menurutnya, ular yang memakan mangsa setiap dua minggu sekali tidak boleh disentuh kerana boleh menyebabkan ia memuntahkan kembali makanannya.

Tambahnya, dalam tempoh sama juga, ular akan bersalin kulit dan ia dapat dilihat melalui tanda-tanda seperti matanya bertukar menjadi warna putih.

"Ular tidak suka apabila kita memegang bahagian ekornya kerana itu akan membuatkan ia berasa seolah-olah terancam," katanya.

Sementara itu, adik Kok Wai, Chua Kok Cheng, 13, masih belum berani untuk memegang ular tetapi sudah selesa memegang rakun.

"Saya pernah mengajak rakan-rakan sekolah untuk turut sama menyertai program ini tetapi mereka tidak berminat kerana ada yang sibuk ke kelas tuisyen sementara ada yang takut berbau busuk serta digigit oleh haiwan di sini," katanya.

Ibu kepada dua pelajar tersebut, Agnes Lee, 45, yang merupakan seorang suri rumah berkata, program itu wajar diikuti oleh pelajar pada musim cuti sekolah berbanding menghadap komputer di rumah.

Menurut Agnes, dia mula melihat perubahan pada kedua-dua anaknya apabila mereka mula berani untuk berucap secara terbuka di tempat awam tanpa sebarang segan silu.

Sementara itu, Pengurus Besar Lost World of Tambun, Calvin Ho berkata, pihaknya bercadang membuka keahlian Junior Ranger kepada 100 orang sahaja setahun.

Beliau berkata, setakat ini seramai 51 pelajar sudah mengikuti program tersebut dan persetujuan daripada ibu bapa penting untuk menyertainya.

"Ibu bapa tidak perlu risau kerana kita mempunyai dua renjer utama sepenuh masa yang akan menyelia Junior Ranger ini.

"Semua haiwan di sini diberi suntikan vaksin selain penggunaan mikro organisma efektif (EM) untuk menghilangkan bau najis," katanya.

Menurut beliau, selain lima lencana yang diperoleh Kok Wai, pihaknya juga menawarkan tujuh lagi lencana untuk Junior Ranger sekiranya mereka berjaya melepasi ujian bertulis dan penilaian pengucapan awam.

Tujuh lencana itu termasuk Bird Paradise (burung), Mammals (mamalia), Primates (monyet ekor panjang), Rainforest Trail (kambing kerdil Afrika), Wetlands (paya) serta Jungle Survival dan Gua Anak Datuk (belajar hidup berdikari di dalam hutan).

Selain itu katanya, program renjer tersebut mempunyai beberapa pangkat iaitu Junior Ranger, Junior Ranger I, Junior Ranger II dan Junior Master Ranger.

"Pangkat tertinggi iaitu Junior Master Ranger akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan kesemua 12 lencana yang ditawarkan," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program tersebut boleh mendaftarkan diri dengan pembayaran sebanyak RM200 setahun.

Pembayaran itu meliputi kemasukan percuma ke Petting Zoo, Lost World of Tambun selain pemberian satu set pakaian khas Junior Ranger bersama tanda nama termasuk peluang menerima hadiah hari jadi.

No comments:

Post a Comment