Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, November 20, 2010
Bunuh Saudara
Penjual ikan dihukum gantung bunuh rakan
Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my
Roslan Hussin dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam setelah bersalah membunuh rakan karibnya, dua tahun lalu.
PULAU PINANG 19 Nov. - Dua tahun lalu, seorang penjual ikan tergamak menetak kepala rakan karibnya dengan parang semata-mata untuk merompak wang RM9,000 milik mangsa yang mempunyai pertalian persaudaraan dengannya. Perbuatan membunuh yang kejam itu dilakukan tanpa mengenal erti kasihan, lebih-lebih lagi wang tersebut ingin digunakan oleh mangsa untuk majlis perkahwinan anaknya.
Lelaki itu bagaimanapun menerima pembalasan hari ini apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas perbuatannya itu terhadap peniaga kedai runcit tersebut.
Roslan Hussin, 43, dijatuhi hukuman berkenaan setelah disabitkan dengan kesalahan membunuh Jasni Hamid, 50, kira-kira pukul 8.45 malam, 23 Mac 2008 di Jalan Mini Tar Lava, Kampung Air Hitam, Sungai Dua, Seberang Perai Utara di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ketika Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu kira-kira pukul 10.30 pagi, raut wajah Roslan yang bertubuh sederhana dan agak rendah itu kelihatan muram.
Tertuduh yang diwakili peguam K. Simon Murali pada mulanya mendengar penghakiman itu dengan tekun sebelum dilihat berpaling ke arah ahli keluarganya di galeri awam sambil mengangguk-angguk kepalanya beberapa kali sewaktu hukuman dijatuhkan.
"Gantung,'' katanya yang memakai baju kemeja kotak-kotak hitam putih dan berseluar jean biru sejurus selepas prosiding selesai.
Ahli keluarga Roslan termasuk isteri dan dua anaknya kemudian dilihat berpelukan sesama sendiri sambil menangis sebaik sahaja polis menggari semula tangan tertuduh untuk membawanya ke lokap.
Dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan hampir sejam, Hakim Abdul Halim berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Menurut beliau, keterangan bela diri tertuduh secara tidak bersumpah di kandang pesalah pula hanya bersifat penafian semata-mata serta penuh dengan keraguan yang boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, tertuduh juga cuba mewujudkan elemen alibi untuk menafikan penglibatannya dalam kes itu tetapi ia hanya timbul semasa pembelaan dan tidak disokong dengan keterangan saksi-saksi lain.
Menurutnya, sungguhpun tidak ada keterangan langsung membuktikan tertuduh telah menyebabkan kematian mangsa tetapi ia berjaya dibuktikan melalui keterangan kes, terutama hasil analisis asid deoksiribonukleik (DNA).
DNA tertuduh yang dijumpai pada parang yang ditemui dalam semak berdekatan tempat kejadian, wang RM9,000 dijumpai di bawah katil tertuduh dan kesan darah mangsa pada motosikal tertuduh amat jelas untuk mengaitkannya dengan pembunuhan ini.
"Begitu juga kata-kata mangsa sebelum kematiannya yang diberitahu kepada lima saksi yang cuba membantunya di tempat kejadian bahawa tertuduh telah menetaknya merupakan keterangan yang sahih, kukuh dan tidak boleh disangkal.
"Ini kerana walaupun cedera parah, mangsa ketika itu masih hidup dan mampu berkata-kata. Amat jelas itu bukan satu muslihat, tetapi apa yang telah berlaku kepadanya,'' kata hakim tersebut.
Menurutnya lagi, keterangan rakan sekampung mangsa menunjukkan telah berlaku sesuatu apabila kelibat tertuduh tidak kelihatan di kawasan kejadian sedangkan sebelum itu, dia disifatkan sebagai orang yang paling sibuk jika berlaku sesuatu kejadian atau aktiviti di kampung berkenaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment