Thursday, November 4, 2010

Juara Blog


Juara blog bawa pulang RM10,000


Ahmad Said (tengah) bersama para pemenang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 di Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 3 Nov. - Seorang guru, Norzaihan Abd. Kadir, 32, yang mencatatkan rentetan pengalaman yang dilaluinya menjuarai kategori terbuka Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 yang dirintis oleh kerajaan negeri.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2, Kuantan itu membawa pulang wang RM10,000 selain hadiah iringan berupa penginapan dua hari satu malam di Riyaz Herritage dan sebuah kamera digital.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, hobinya sejak kecil mengunjungi sambil menikmati keindahan alam dan meminati bidang teknologi maklumat dan komunikasi membantunya mengisi pelbagai bahan dalam blognya: berbaloiditerengganukita.blogspot.com.my.

Beliau yang turut didorong oleh suami dan rakannya sejak penyertaan dihantar Julai lalu dan sehingga blognya memuatkan lebih 100 paparan tentang destinasi menarik, kesenian negeri, program serta kegiatan berkaitan pelancongan.

"Saya terbaca iklan pertandingan ini Julai lalu dan ketika itu saya belum ada blog. Memang saya tak pandai buat blog, tapi setelah mendapat nasihat rakan, saya cuba belajar sendiri buat blog menerusi laman Googles," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Primula Beach Resort di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Pertandingan mulai 1 April hingga 30 September lalu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM70,000 disertai kira-kira 300 penulis blog dari seluruh negara dan 61 daripada mereka dinilai di peringkat akhir.

Naib johan kategori terbuka disandang oleh Suzairi Zakaria dari Setiu dengan meraih wang RM7,000, penginapan dua hari satu malam di Awana Kijal serta sebuah kamera digital.

Tempat ketiga dimenangi Syahril Hafiz Shamsudin (Shah Alam) bersama hadiah RM5,000 disamping penginapan dua hari satu malam di Primula Beach Resort.

Bagi kategori institusi pengajian tinggi, tempat pertama dimenangi Muhammad Syazwan Safwan Jaafar dari Marang yang menampilkan blog Alami Terengganu.

Guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan itu membawa pulang wang tunai RM7,000 serta hadiah penginapan dua hari satu malam di Terengganu Equestrian Resort (TER) dan sebuah kamera digital.

Tempat kedua disandang Fairuz Abdul Majid dari Kuala Terengganu dengan hadiah RM5,000 serta penginapan dua hari satu malam di Permai Inn Kuala Terengganu manakala Aliashim Albani dari Kuala Terengganu (ketiga) bersama hadiah RM3,000 serta penginapan dua hari satu malam di Bukit Kluang Beach Resort, Besut.

Bagi kategori sekolah pula, juara disandang oleh pelajar Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani Kedah, Syukrina Muhammad Razak, 13, melalui blog Terengganu Kita.

Dia menerima hadiah wang RM5,000 serta penginapan dua hari satu malam di Sutera Beach Resort dan sebuah kamera digital.

Wan Aini Athirah Wan Mohd. Rahim (Kuala Terengganu) di tempat kedua dengan wang RM3,500, penginapan di Hotel Felda Residence manakala Siti Haziqah Ismail dari Kemaman di tempat ketiga yang memenangi hadiah RM2,500 serta penginapan dua hari satu malam.

No comments:

Post a Comment