Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Monday, November 29, 2010
Isteri
Marah benar suami curang
Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my
SABAK BERNAM: Seorang isteri diceraikan dengan talak tiga melalui SMS selepas mengadu kepada ketua kampung mengenai tingkah laku suaminya yang membawa pulang wanita lain ke rumah untuk melakukan maksiat.
Lebih malang, ketika membawa pulang teman wanita itu, isteri berkenaan bersama tiga anaknya berada di rumah dan melihat tingkah laku lelaki terbabit.
Isteri berkenaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 29, berkata bukan sekali, malah banyak kali suaminya berkelakuan sedemikian dan jika ditegur, suaminya itu akan memukulnya dan anak-anak dan lapan laporan polis dibuat berhubung kejadian dera itu.
Berikutan tidak tahan dengan perilaku suaminya, dia membuat aduan kepada ketua kampung meminta menasihati suaminya itu.
Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan suaminya berang dan tidak lama kemudian dia menerima SMS daripada suami yang menceraikannya dengan talak tiga.
“Kejadian berlaku sebulan lalu, kira-kira jam 10.30 malam, suami saya yang juga seorang anggota tentera membawa pulang seorang wanita berusia 21 tahun yang didakwa adik angkatnya.
“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat perilaku suami yang berpelukan dengan ‘adik angkat’ itu di depan mata dan percaya mereka ada hubungan sulit.
“Isteri mana yang sanggup melihat suami melakukan maksiat di depan mata. Ketika itu hancur luluh hati saya.
“Malah, anak saya turut melihat perbuatan ayah mereka itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.
Kes cerai itu katanya dirujuk ke Mahkamah Rendah Sungai Besar, di sini, dan mereka disahkan bercerai pada 10 November lalu.
Menurutnya, pernah sebelum ini dia menegur tindakan suaminya yang gemar bertukar wanita dan akibatnya dia diterajang tanpa belas kasihan.
“Saya akan disepak terajang, diketuk seluruh badan dengan tukul besi setiap kali menegur perbuatan terkutuknya yang gemar membawa kekasih ke rumah kami.
“Bukan saya saja menjadi mangsa, malah dua anak kami yang masih kecil menerima nasib sama,” katanya menceritakan nasibnya yang mendakwa sering dipukul suami jika menegur perbuatan suaminya membawa pulang wanita ke rumah sejak berkahwin 11 tahun lalu.
Menurutnya, disebabkan itu, kedua-dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun kini trauma.
“Kerana tidak tahan dengan pukulan dan hinaan suami yang memukul kami anak beranak, saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar dan lebih lapan laporan sudah dibuat, tetapi tiada tindakan diambil ke atas bekas suami saya itu,” katanya.
Hasil perkahwinan itu, mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun yang kini menghidap penyakit paru-paru berair.
Katanya, walaupun baru berstatus janda, tetapi dia reda kerana terselamat daripada menjadi mangsa belasahan suami.
“Walaupun suami sudah keluar dari rumah, tetapi dia meninggalkan hutang along berjumlah RM15,000 menyebabkan saya kini ketakutan jika samseng datang ke rumah mencari suami saya. Dulu, kami pernah berpindah rumah kerana tidak tahan menjadi buruan along. Kini tak tahu apa pula yang akan berlaku,” katanya.
Siti berkata, kini hidupnya cuma untuk tiga anaknya dan akan cuba membesarkan mereka menjadi insan yang berguna.
Selain itu, anak sulung Siti Aishah terpaksa berhenti sekolah kerana ingin membantunya menjaga dua adiknya. “Anak bongsu saya yang berusia dua tahun terpaksa dijaga rapi kerana menghidap penyakit paru-paru berair dan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani rawatan setiap bulan,” katanya.
Beliau yang tidak bekerja kini buntu dan berharap sumbangan orang ramai yang simpati terhadap nasibnya. Mereka yang bersimpati boleh menghubunginya di talian 012-9433226.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment