Friday, November 5, 2010

Jambatan


Penantian 400 penduduk berakhir

Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
utusansabah@utusan.com.my

Seorang penduduk Kampung Bahab menggunakan jambatan gantung baru yang telah dibaik pulih menerusi Projek Kemasyarakatan Exxonmobil di kampung itu, baru-baru ini.

KOTA BELUD 4 Nov. - Penantian lebih 400 penduduk di tiga buah kampung dalam daerah ini selama 20 tahun untuk memiliki jambatan gantung baru, akhirnya tercapai.

Hasrat itu terlaksana menerusi Projek Kemasyarakatan ExxonMobile Malaysia Sdn. Bhd. (ExxonMobil) dengan kerjasama jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) Kampung Bahab baru-baru ini.

Jambatan gantung sepanjang 73.152 meter dan 1.2 meter lebar itu menggantikan jambatan lama yang dibina sekitar tahun 1990-an lagi bagi menghubungkan penduduk di tiga kawasan iaitu Bahab, Tinata dan Soronsob.

Sebanyak RM20,000 diperuntukkan oleh Exxonmobil bagi membiayai kerja membaik pulih jambatan tersebut pada tahun ini.

Dengan adanya kemudahan itu, penduduk terutama petani dan pelajar di kampung berkenaan tidak lagi perlu risau tentang keselamatan mereka seperti yang dirasai setiap kali melintasi jambatan lama yang menunggu masa untuk roboh.

Ternyata, penduduk kampung kini lebih yakin dan selesa menggunakan jambatan gantung baru yang lebih kukuh serta stabil.

Seorang penduduk, Suring Gempok, 77, berkata, aktiviti pertaniannya setiap hari berjalan lancar sejak adanya jambatan gantung baru itu.

Menurutnya, dia tidak lagi perlu mengambil masa agak lama untuk sampai ke kebunnya yang terletak di Kampung Tilatah Neluhan setelah pembinaan jambatan gantung baru itu siap.

''Kami bersyukur kerana pihak Exxonmobil tampil membantu penduduk-penduduk kampung. Ini kerana kami sudah lama tertunggu-tunggu bila lagi mahu dapat jambatan yang baru.

''Bukan sahaja berasa selamat, malah kami golongan tua dapat jimatkan masa ke kebun memandangkan sebelum ini kami terpaksa ke kampung bersebelahan untuk ke perhentian bas.

''Kebun saya terletak agak jauh di Kampung Tilatah Neluhan dan kebiasaannya saya menumpang van sekolah untuk ke sana. Saya keluar rumah pada pukul 6.30 pagi setiap hari dan akan sampai di kebun pada pukul 7 pagi," katanya ketika temui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Suring berkata, dia tidak lagi berani melalui jambatan gantung lama sejak tiga tahun lalu akibat memikirkan keselamatan dirinya, namun mengakui masih ada penduduk yang berani menggunakannya.

Rakannya, Kombolig Gelud, 84, berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak Exxonmobil itu memberi kelegaan kepada penduduk kampung.

''Seluruh penduduk kampung gembira dengan adanya jambatan baru ini. Bagi golongan tua seperti kami, sudah tidak larat jalan jauh. Lutut pun sakit-sakit.

'' Sekarang ini senanglah kami hendak ke kebun sayur dan buah-buahan. Tidak lagi perlu khuatir pasal keselamatan kecuali budak-budak sekolah perlu juga berhati-hati menggunakan jambatan itu," jelasnya.

Kampung Bahab, terletak kira-kira 17 kilometer dari pekan Kota Belud.

Dianggarkan 60 peratus penduduk kampung berkenaan adalah golongan petani sekali gus menunjukkan bidang pertanian merupakan kegiatan ekonomi utama penduduknya.

Selebihnya, bekerja di jabatan-jabatan kerajaan, swasta dan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

Seorang lagi penduduk kampung, Salingka Bahangkat, 62, berkata, kerja membaik pulih jambatan di Kampung Bahab yang dijalankan oleh pihak Exxonmobile adalah tepat pada masanya.

''Kami bernasib baik kerana ada pihak sudi menyediakan kemudahan jambatan baru yang memang kami nanti-nantikan," katanya.

Mengimbas pengalaman melalui jambatan gantung lama di kampung itu, Salingka memberitahu, dia sebenarnya berasa sangat takut jika jambatan tersebut tiba-tiba roboh.

''Kalau lalu jambatan itu, jantung saya berdebar-debar kerana takut, tetapi saya bertuah kerana tidak pernah jatuh," kata pesara kerajaan itu yang kini mengusahakan pertanian di kebun miliknya seluas lapan hektar.

No comments:

Post a Comment