Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, November 20, 2010
Produk Penjara
Produk hasil penghuni penjara menarik, berkualiti
MAZLAN Ibrahim (kiri) menunjukkan sos pencicah yang mencatat jualan melebihi RM2,000 setiap bulan.
KOTA BHARU 19 Nov. - Orang ramai yang sering lalu lalang di Jalan Pengkalan Chepa dekat sini, pastinya sudah biasa dengan kewujudan bangunan penjara yang mudah dilihat dari jalan utama, namun sering mengabaikan sebuah galeri yang berada di sebelahnya.
Mungkin mereka menyangka galeri tersebut adalah bilik pameran yang hanya boleh dilawati secara rasmi dan keadaan itu menyebabkan ramai orang kurang mengambil tahu mengenainya.
Malah, mungkin juga ada yang berasa gerun untuk menghampirinya apabila ia dikaitkan dengan banduan dan penjara.
Hakikatnya, orang ramai dialu-alukan ke Galeri Produk Penjara Pengkalan Chepa tersebut untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan daripada produk makanan, batik, kraftangan sehinggalah perabot berkualiti pada harga berpatutan.
Timbalan Penguasa Bahagian Vokasional dan Industri Penjara Pengkalan Chepa, Raja Mohd. Amazon Raja Daud (gambar) berkata, masyarakat tidak perlu gerun atau ragu-ragu untuk mengunjungi galeri yang terletak berhadapan dengan Masjid Pengkalan Chepa itu kerana ia berfungsi seperti premis perniagaan biasa yang dilengkapi dengan pendingin hawa.
Katanya, barangan yang dihasilkan banduan di penjara itu setanding kualiti produk luar dan sehingga Oktober lalu telah mencatat jualan melebihi RM312,000 dan dijangka tidak menghadapi masalah melepasi sasaran RM450,000 yang ditetapkan tahun ini.
"Pelan Pembangunan Insan (PPI) bagi pemulihan banduan yang masuk ke sini meliputi empat fasa dan banduan yang sudah layak mengikuti fasa kedua akan diajar pelbagai kemahiran di bengkel dalam penjara.
"Kita ada pelbagai produk yang dihasilkan daripada kayu, rotan, tenunan songket dan batik, jahitan serta bahan makanan seperti sos pencicah, mi dan pastri.
"Masyarakat dialu-alukan datang untuk melihat sendiri produk dan hasil kejayaan program pemulihan banduan di penjara ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Raja Mohd. Amazon, seramai 253 banduan terlibat dengan program kemahiran itu daripada keseluruhan 1,325 penghuni penjara.
Katanya, produk yang diusahakan mendapat permintaan tinggi terutamanya dari galeri penjara seluruh negara termasuk Sabah, tetapi kekangan bilangan tenaga kerja mahir menyebabkan banyak permintaan terpaksa ditolak.
"Kadang-kadang ada antara banduan yang mahir sudah selesai tempoh hukuman jadi kita tidak boleh menahan mereka lagi. Ada juga yang dipindahkan ke penjara lain berikutan pengkelasan penjara jadi kita kehilangan orang yang boleh menghasilkan produk," jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya bercadang mengadakan gerai pameran kraf penjara di tempat awam pada tahun hadapan bagi merancakkan lagi promosi yang setakat ini hanya terhad di galeri itu sahaja.
Sementara itu, Pengurus Galeri, Mazlan Ibrahim berkata, orang ramai boleh datang ke galeri berkenaan pada setiap hari Ahad hingga Khamis dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya, terdapat lima orang pegawai penjara yang sedia membantu pelanggan untuk memilih pelbagai barangan dipamerkan.
"Antara barangan terlaris adalah sos pencicah yang mencatat jualan melebihi RM2,000 setiap bulan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment