Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Tuesday, November 23, 2010
Tuah
Umpan RM3, bawa pulang RM10,000
Juara Pertandingan Joran Bagus, Mohd. Fadhil Rashid (tengah), tempat kedua, Sumardi Damiri (kanan) dan ketiga, Afzulizan Samsu pada Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Setulang Laut, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 22 Nov. - Dengan hanya bermodalkan umpan udang berharga RM3, seorang pekerja swasta, Mohd. Fadhil Rashid, 28, berjaya membawa pulang hadiah utama wang RM10,000 pertandingan memancing pada Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di The Zone, Stulang Laut, di sini hari ini.
Selain hadiah wang tunai, Mohd. Fadhil yang merupakan pendaftar terawal turut memenangi satu set teater rumah bernilai RM3,800, piala dan hamper setelah berjaya menangkap ikan bandang susu seberat 0.650 kilogram (kg).
"Saya tidak pernah terfikir untuk menang hadiah utama kerana sudah banyak kali masuk pertandingan memancing tetapi tidak pernah bernasib baik.
"Saya tidak sangka pula, dengan hanya bermodalkan umpan udang yang dibeli dengan harga RM3, bawa pulang hadiah utama," katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.
Tempat kedua dimenangi pekerja swasta, Sumardi Damiri, 51, yang berjaya menaikkan ikan siakap seberat 0.640 kg dan membawa pulang wang RM4,000, sijil dan hamper.
Pekerja kilang, Afzulizan Samsu, 24, pula muncul tempat ketiga selepas menaikkan ikan kitang seberat 0.300 kg dan membawa pulang hadiah wang RM1,500, sijil, hamper dan satu set teater rumah bernilai RM3,300 kerana menjadi pendaftar terawal.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd. Jaafar Awang. Turut hadir, Pengarah Urusan Joran Bagus, Azmi Nan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Fadzlina Abd. Malik yang juga penyelaras program berkata, seramai 623 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan memancing anjuran Joran Bagus bermula pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu.
Selain pertandingan memancing, pelbagai acara lain turut dijalankan, antaranya pertandingan menangkap itik, pakaian beragam, memasak dan mewarna.
"Sambutan orang ramai amat menggalakkan dan dianggarkan seramai 3,000 pengunjung datang ke Karnival Rakyat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor hari ini," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment