Wednesday, November 17, 2010

Dipatuk Tedung


Koma lima hari
Oleh Salman Hamat dan Ahmad Othman
am@hmetro.com.my


NOR SUBORY...dikejar ular tedung
JOHOR BAHRU: Tindakan berani seorang anggota bomba mengalihkan perhatian seekor ular tedung yang mengejar rakannya bertukar tragedi apabila dia tidak sedarkan diri lima hari akibat dipatuk haiwan berbisa itu.

Mohd Safa Mausor, 50, yang dipatuk ular ketika cuba menangkap reptilia itu di kuarters Syarikat Air Johor Holdings di Kampung Sungai Telur, Kota Tinggi, Khamis lalu, baru sedar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, tengah hari semalam, selepas menjalani dua pembedahan hujung minggu lalu.


Dalam kejadian jam 12.37 tengah hari itu, mangsa bersama rakannya, Nor Subory Md Esa, 40, ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan ada ular tedung dalam parit di luar kuarters.

Beberapa minit kemudian mereka mengesan lokasi haiwan berbisa itu bersembunyi dan membuat perancangan menangkapnya.


Menurut Subory, bagi memaksa ular itu keluar, dia dan Mohd Safa memasukkan belerang, air panas dan garam ke dalam saluran paip berkenaan.


“Beberapa minit kemudian kami melihat ekor reptilia , tanpa berlengah saya menjerut bahagian ekornya menggunakan alat khas.


“Bagaimanapun, tiba-tiba haiwan itu mengeluarkan kepala dari tempat persembunyiannya sambil beberapa kali menyambar ke arah saya menyebabkan saya terjatuh ketika mengelak.


“Pada masa sama haiwan itu dapat melepaskan diri dan mula mengejar saya. Risau berlaku perkara tidak diingini, Mohd Safa cuba mengalihkan perhatian ular berkenaan daripada terus meluru ke arah saya,” katanya ketika dihubungi di Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, ular terbabit mematuk betis kanan Mohd Safa, namun ketika itu dia tidak berasa sakit atau menunjukkan tanda bisa sudah meresap ke dalam salur darahnya.


Selepas haiwan berbisa itu ditangkap, kedua-dua anggota terbabit singgah di Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menjalani pemeriksaan di Jabatan Kecemasan.


“Dalam perjalanan pulang Mohd Safa tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit, malah memandu kereta pacuan empat roda yang kami naiki.


“Risau dengan keadaannya saya bertanya sama ada berasa kebas atau sakit, dia hanya menjawab kesan gigitan itu hanya luka biasa.


“Bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan dia ditahan di wad untuk rawatan lanjut, tidak lama kemudian dia tidak sedarkan diri menyebabkan doktor mengambil keputusan memindahkannya ke HSI,” katanya.


Difahamkan, mangsa dimasukkan ke ICU hospital terbabit pada hari kejadian. Selepas menjalani pembedahan Ahad lalu, Mohd Safa dilaporkan dalam keadaan stabil.


Sementara itu, anak Mohd Safa yang enggan dikenali berkata, mangsa juga menunjukkan perkembangan positif apabila sudah sedar, tetapi masih lemah.


“Walaupun sudah sedar dan membuka mata, ayah tidak bercakap berikutan keadaannya masih lemah, tetapi kami bersyukur kerana dia selamat.


“Doktor masih memantau perkembangan mangsa dan kini masih ditempatkan di wad ICU bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment