Remaja perempuan pencuri nangis ditahan
AMPANG: Seorang remaja berusia 16 tahun adalah antara dua suspek yang dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun di sekitar Ampang sejak dua tahun lalu.
Remaja berkenaan menangis ketakutan ketika dia dan rakannya dicekup di rumahnya di Pusat Komersial Ampang, di sini, awal pagi Rabu lalu.
Remaja yang sudah tidak lagi bersekolah itu difahamkan sudah 10 kali melakukan kegiatan samun di kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan berkata, mereka dicekup ketika sedang berehat di rumah berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang juga ketua kumpulan itu.
Katanya, kumpulan suspek lebih dikenali dengan panggilan Geng Harun bersempena dengan nama ketua kumpulan itu yang berusia 24 tahun.
“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua suspek , polis turut menemui dua bilah parang dan beberapa keping kad sim telefon dipercayai disamun daripada mangsa.
“Pihak polis juga masih menjalankan saringan air kencing ke atas mereka bagi memastikan sama ada mereka positif mengambil dadah atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu dikesan hanya menjalankan kegiatan pada awal pagi ke atas kedua-dua premis berkenaan kerana ketika itu kurang pelanggan.
Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang remaja bersama tiga rakannya ditahan ketika berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berdekatan Hotel Flaminggo, di sini, kira-kira jam 5 pagi semalam.
Ketika dicekup semua mereka berada di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic hitam yang sedang berhenti di bahu jalan.
Abd Jalil berkata, semua mereka berusia antara 16 dan 24 tahun dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan dalam kereta berkenaan, polis menemui tiga bilah parang dan dua bilah pisau lipat di bawah tempat duduk depan dan belakang yang dipercayai digunakan suspek bagi menyamun mangsa.
No comments:
Post a Comment